|
PEMAIN Terengganu FC, Ivan Mammut meraikan jaringannya perlawanan Piala FA menentang Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Seperti dijangka, Terengganu FC (TFC) tiada tandingan buat pasukan Liga M3, Melaka FC selepas melakar kemenangan 4-0 pada aksi pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, naib juara Piala FA musim lalu itu yang dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner berjaya menempah slot ke peringkat suku akhir dan bakal berdepan Kelantan FC sekali gus berpeluang untuk mengulangi pencapaian musim lalu.
Pada perlawanan itu, skuad Penyu yang menurunkan empat tonggak import berbanding lawan tanpa import bermula garang selepas mendapat gol pendahuluan menerusi rembatan deras Ivan Mamut pada minit kelima perlawanan.
Pada minit ke-13, penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah hampir menambah gol kedua pasukannya, namun sepakannya dari dalam kotak penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kiri gol pelawat.
Sepanjang babak pertama skuad pelawat kendalian Pedro Hipolito langsung tidak ada percubaan tepat sekali gus menyaksikan penjaga gol TFC, Muhammad Rahadiazli Rahalim tidak banyak menyentuh bola.
Bersambung babak kedua, pertahanan tengah, Muhammad Safwan Mazlan yang masuk menggantikan Argzim Redzovic hampir mencetak namanya sebagai penjaring pada minit ke-56, namun tandukannya berjaya ditampan keluar penjaga gol lawan, Muhammad Daniel Wafiuddin Sa'dun.
Menerusi sepakan percuma Mohammad Syafiq Al Hafiz Dawawi pada minit ke-61, pelawat berpeluang menyamakan kedudukan, tapi Rahadiazli bertindak pantas menghalang percubaan pemain tengah itu.
Usaha berterusan tuan rumah untuk menambah jaringan kedua berhasil pada minit ke-70 apabila pemain gantian, Hakimi Abdullah tidak melepaskan peluang melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti hasil hantaran lintang Mintah untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.
Pada minit ke-81, hasil hantaran Omid Nazari, Mintah menambah derita pelawat apabila menyumbat jaringan ketiga pasukannya selepas mudah menggelecek penjaga gol untuk pasukannya selesa mendahului 3-0.
Ketika perlawanan dilihat berkesudahan dengan keputusan itu, Mintah sekali lagi muncul sebagai watak pemusnah apabila meledak gol keempat pada masa kecederaan hasil hantaran Engku Nur Shakir Engku Yacob dan keputusan 4-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tfc-bedil-melaka-fc |
|
|
|
|
|
|
| |
|