Pelajar disyaki terbabit pergaduhan seperti tular dalam rakaman video di aplikasi WhatsApp, sejak semalam akan dikenakan tindakan oleh polis.
Klip video yang tular sejak jam 7 petang itu dipercayai berlaku membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Belud.
Antara tangkap layar klip video insiden pergaduhan yang tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahrudin Mat Husain yang mengesahkan kejadian itu berkata, setakat pagi tadi, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada individu terbabit atau pihak sekolah.
"Kami juga akan menyiasat sama ada ia pergaduhan atau kes buli dalam kalangan pelajar," katanya.
Menurut Shahrudin, pihaknya akan mengambil tindakan bersama pengurusan sekolah berkaitan.
"Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Orang ramai juga dipohon supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat palsu berkaitan kejadian terbabit," katanya.
Rakaman itu antara lain menunjukkan, seorang remaja memakai baju T merah yang dipercayai pelajar, ditumbuk beberapa kali oleh seorang pelajar.
Sumber: Harian Metro |