Bukan sahaja dibogelkan, malah seorang lelaki dibelasah sekumpulan penduduk sehingga mati.
Dalam kejadian di kawasan perumahan di jalan Bhayangkara, Kecamatan Padang Hilir, Kota Tebingtinggi di Indonesia, pada Khamis lalu, mangsa dikejar penduduk selepas dituduh hendak mencuri burung.
 Keluarga mangsa yang dipukul sehingga mati kerana dituduh mencuri burung. foto Anugrah Nasution
Ketika kejadian, mangsa berusia 27 tahun tercegat di atas teres rumah seorang penduduk, lapor Tribun Medan.
Pemilik rumah yang tidak mengenali mangsa mengesyaki lelaki itu hendak mencuri burung peliharaannya sebelum mengejar mangsa.
Mangsa yang melarikan diri kemudian ditangkap oleh penduduk dan dipukul beramai-ramai.
Dalam satu rakaman video, kelihatan berpuluh-puluh orang memukul dan membogelkan mangsa sambil digari.
Muka mangsa berlumuran darah dan keadaannya lemah, turut memohon maaf dan memberitahu dia mempunyai seorang isteri dan dua anak.
Ketua Perhubungan Awam Polis Tebingtinggi, AKP Agus Arianto mengesahkan kejadian itu.
Selepas dipukul, mangsa dibawa ke hospital. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Susulan kejadian itu, Agus berkata, Unit Siasatan Jenayah Polis Tebingtinggi sedang menjalankan siasatan dan beberapa individu telah dipanggil polis dan merakamkan keterangan.
Sumber: mStar |