View: 434|Reply: 1
|
Didakwa Ugut Bunuh Bekas Isteri Pasal Tukar Hak Milik Rumah
[Copy link]
|
|
Pekerja dobi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mengugut bunuh bekas isterinya kerana enggan menandatangani Surat Perjanjian Pertukaran Hak Milik Rumah, bulan lalu.
Tertuduh, P Chandramohgan, 47, dari Taman Gangsa Impian, Durian Tunggal, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap S Wairavi, 44, dengan mengugut untuk membunuhnya kerana enggan menandatangani dokumen itu di sebuah rumah di Taman Mas Merah Jaya, di sini, pada 1 Mac lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menjalankan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.
Tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan dia hanya bekerja dobi dengan pendapatan RM3,000 sebulan serta menanggung empat anak.
Katanya, dia hanya menyediakan RM2,000 disebabkan baru dimaklumkan kes itu petang semalam.
"Sebenarnya bekas isteri sengaja tuduh saya. Saya tidak faham mengapa, sedangkan ada perintah mahkamah bahawa rumah berkenaan perlu dijual dan hasilnya dibahagi dua," katanya.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen.
Sumber: HARIAN METRO |
|
|
|
|
|
|
| |
|