|
Mawar (kiri) bersama tiga lagi jenama butik tempatan di Kedah yang bergabung menjayakan Kedah Rona Raya dengan menjual Baju Raya Rahmah.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Empat jenama pakaian tempatan di Kedah berkolaborasi dalam fesyen 'Kedah Rona Raya' yang turut menawarkan Baju Raya Rahmah dalam membantu meringankan beban golongan B40 menyediakan kelengkapan raya mereka.
Golongan memerlukan itu dapat memilih pakaian raya berkualiti pada harga mampu milik yang ditawarkan usahawan tempatan iaitu jenama Liyana Collection (LYC) dengan harga bermula serendah RM35, Nabella Butik (RM39), manakala Duchess Exclusive By CPG dan Qamraa masing-masing (RM59).
Pemilik Butik Duchess, Mawar Ismail, berkata usaha itu bertujuan untuk membolehkan semua golongan membeli Baju Raya Rahmah dengan harga murah disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
"Memandangkan sambutan hari Raya tahun ini serentak dengan pembukaan sekolah sesi 2023/2024, ramai yang terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak.
"Namun dengan harga pakaian Baju Raya Rahmah yang diperkenalkan ini, ia sedikit sebanyak membantu mereka untuk berbelanja dengan harga murah," katanya pada sidang media di butiknya, semalam.
Mawar berkata, jualan itu masih ada untung tetapi tidak sebanyak untung jualan harga normal. Namun, pihaknya berpuas hati kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Katanya, kebanyakan Baju Raya Rahmah yang dijual adalah koleksi untuk wanita.
"Setakat ini kolobrasi hanya membabitkan empat butik dan mungkin pada masa depan, ada lebih banyak butik lagi yang akan menyertai kami.
"Kami mengutamakan kualiti kain yang bermutu tinggi tetapi masih boleh dijual pada harga murah," katanya.
Pengarah Urusan Butik Qamraa, Rabia Saad, berkata selagi ada permintaan Baju Raya Rahmah, pihaknya akan menambah stok pakaian yang ada pada harga berpatutan.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 3,000 helai Baju Raya Rahmah disediakan dan jika habis, mereka akan buat tambahan stok.
"Baju Raya Rahmah' ini ringkas sikit coraknya tetapi orang ramai boleh beli untuk pakai sempena Hari Raya ini.
"Alhamdulillah, dapat sambutan hangat kerana kalau dulu, jenama kami menjual baju antara harga RM200 ke atas, tetapi selepas pandemik COVID-19, kami dah berubah pada harga lebih murah sedikit," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... al-baju-raya-rahmah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|