|
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (kanan) dan penjaga gol, Hugo Lloris meraikan kemenangan suku akhir Piala Dunia ke atas England di Stadium Al-Bayt, Al Khor, Doha. - Foto AFP
PARIS: Kylian Mbappe menggantikan Hugo Lloris, yang bersara daripada bola sepak antarabangsa, sebagai kapten Perancis.
Penyerang Paris Saint-Germain berusia 24 tahun itu, menerima pelantikan itu selepas berbincang dengan pengendali, Didier Deschamps.
Penjaga gol Tottenham, Lloris menamatkan karier antarabangsanya pada Januari selepas tewas di final Piala Dunia sebulan sebelum itu.
Lloris, 36, memakai lilitan kapten lebih sedekad untuk skuad kebangsaan Perancis.
Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dinamakan sebagai penolong kapten selepas bek tengah Manchester United, Raphael Varane turut bersara susulan kekalahan di tangan Argentina pada Disember.
Mbappe, yang sudah tampil 66 kali untuk negaranya, dikaitkan dengan jawatan kapten selepas prestasinya cemerlangnya meledak hatrik ketika final Piala Dunia dan membantu Perancis muncul juara pada edisi 2018.
Bekas penyerang Monaco itu menjadi penolong kapten di PSG kepada pemain Brazil, Marquinhos dan memimpin pasukannya ketika ketiadaan pertahanan itu semasa kekalahan kepada Rennes Ahad lalu.
Perlawanan pertamanya sebagai kapten ialah pada aksi kelayakan Euro 2024 menentang Belanda di Stade de France, Jumaat ini. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ini-kapten-perancis |
|