Keadaan rumah tersebut yang terbakar sepenuhnya.
KUCHING: Sebuah rumah di Kampung Beradik Hilir di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kejadian dan terus mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah rumah jenis separuh kekal telah musnah terbakar sepenuhnya.
"Pasukan bomba bertindak memadamkan sisa dan bara api yang masih ada dan memastikan tiada lagi punca nyalaan semula," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
"Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, anggota bomba kemudian bertolak balik ke balai," katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan unit forensik kebakaran JBPM Sarawak.
|