CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7936|Reply: 0

[Sabah] Sabah sedia RM16.42 juta peruntukan pembangunan kepimpinan belia

[Copy link]
Post time 7-3-2023 10:56 PM | Show all posts |Read mode


KENANGAN: Hajiji (duduk tiga kanan) merakamkan kenangan bergambar bersama tetamu jemputan dan para peserta program itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, menerusi peruntukan itu, program yang akan dilaksanakan meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan, dan berintegriti.

Menurutnya, sejak memimpin kerajaan negeri pada September 2020, pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan kepada golongan belia di negeri ini.

"Dalam bidang pendidikan, kerajaan melaksanakan beberapa program termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) atau dikenali sebagai BUDI dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang menyasarkan para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Inisiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI), dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan turut mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menjadi landasan bagi membolehkan lebih ramai lagi anak-anak Sabah berpeluang ke IPT di dalam dan di luar negara.

Menurutnya, kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) untuk memayungi persatuan mahasiswa di semua IPT seluruh negara sekali gus bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, idea serta cadangan untuk pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

Katanya, komitmen kerajaan negeri tidak hanya dalam aspek pendidikan, malah turut melibatkan bidang keusahawanan dengan beberapa skim keusahawanan diperkenalkan seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang membantu belia berkecimpung dalam perniagaan kembali bangkit setelah terjejas akibat penularan COVID-19.

"Program ini akan diteruskan dan saya menyarankan Majlis Belia Sabah (MBS) dapat menjadi penggerak penting kepada pelaksanaan SYABAS pada tahun ini," katanya.

Selain itu beliau berkata, pelaksanaan Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermula pada tahun lalu akan diteruskan pada tahun ini di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKBS).

Menurutnya, Program Felo SMJ diselaraskan oleh Presiden MBS dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).

"Kerajaan negeri juga akan sentiasa mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda di negeri ini kerana pandangan dan pendapat mereka diperlukan untuk menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.

"Justeru dalam Belanjawan 2023 Sabah, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan di Sabah," jelasnya.

Pada majlis itu, Hajiji turut berkesempatan menyertai Sesi Dialog Belia SMJ dengan menjawab beberapa soalan peserta berkaitan pengalaman serta cabaran dalam mentadbir kerajaan negeri.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin dan Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 02:23 PM GMT+8 , Processed in 0.059380 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list