Duda diperintah mahkamah menjalani hukuman penjara selama lima bulan selepas didapati bersalah menunjukkan kemaluan kepada dua wanita, bulan lalu.
Majistret Anis Suraya Ahmad memutuskan hukuman itu sebaik Ahmad Zuhairi Ahmad Fadlah, 26, didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Ahmad Zuhairi dijatuhkan hukuman penjara lima bulan setelah didapati bersalah menunjukkan kemaluan kepada dua wanita.
Hukuman itu dijatuhkan ke atas Ahmad Zuhairi bermula dari tarikh dia ditangkap.
Mengikut pertuduhan, dia dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dua wanita dengan cara menunjukkan kemaluan supaya isyarat itu dilihat kedua-duanya di tepi jalan Batu 22 Jalan Teroi menghala ke Sungai Yan, jam lebih kurang 11.45 pagi 5 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sinar Harian 5 Februari lalu melaporkan seorang duda dikesan berkelakuan tidak senonoh terhadap dua wanita ketika menunggang motosikal dari arah sama.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 27 tahun bersama seorang lagi wanita dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum terserempak dengan lelaki terbabit yang disedari berkelakuan tidak senonoh tanpa segan silu menunjukkan kemaluannya.
Sumber: Sinar Harian |