CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 384|Reply: 1

[Perlis] Safsufarnisya yang ditembak mati suami, hamil lima bulan

[Copy link]
Post time 6-3-2023 01:35 PM | Show all posts |Read mode
Safsufarnisya yang ditembak mati suami, hamil lima bulan


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



CHE Mas reda dengan ketentuan Ilahi. (Gambar kecil) Safsufarnisya. FOTO Aizat Sharif




Kangar: Suri rumah yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini, disahkan hamil lima bulan.

Perkara itu didedahkan oleh ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, yang menyatakan bahawa anak bongsu daripada empat beradik itu, Safsufarnisya Salleh, 26, hamil anak pertama selepas berkahwin dengan suspek selama dua tahun.

"Memang anak saya hamil lima bulan ketika dia meninggal semalam.

"Malah, kami tidak sangka perkara ini boleh berlaku kerana menantu (suspek) ini memang baik orangnya sehinggakan kami sudah anggap dia sebagai anak sendiri.

"Jadi kehilangan Safsufarnisya ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya terima terutama dalam keadaan apa yang terjadi tempoh hari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini hari ini.

Katanya, jika dilihat daripada keadaan sebelum ini menantunya yang berasal dari Setiu, Terengganu itu adalah seorang yang 'ringan tulang' dan gemar membantu keluarga termasuklah membelikan pelbagai keperluan termasuk makanan di rumah itu.

"Dia tidak pernah berkira dan kalau dia pulang ke rumah ini, dia pasti akan membawa pulang makanan termasuklah lauk-pauk.

"Paling mengharukan adalah menantu makcik ini sering membawa kami termasuk Allahyarham keluar bersiar-siar sekiranya ada kelapangan.

"Oleh itu, bagaimanalah kami tak anggap dia sebagai anak sendiri tapi benda sudah jadi maka tidak boleh buat apa-apa dah sekarang," katanya.

Dalam masa yang sama juga, Che Mas turut memberitahu bahawa menantunya itu dipercayai mempunyai masalah kemurungan beberapa tahun sebelum ini.

Ini disebabkan menantunya ada menunjukkan perilaku yang tidak menentu sebelum ini.

"Pada Aidiladha lalu, menantu saya ini pernah memandu tanpa hala tuju di lebuh raya seorang diri sehingga petrol keretanya habis.

"Apabila petrol sudah habis, dia kemudian bersolat di tepi lebuh raya itu dan kemudian menangis terisak-isak di tepi lebuh raya.

"Allahyarham terpaksa menghubungi tempat suaminya bertugas itu untuk mengesan dan membawanya pulang, jadi saya tidak menjangkakan ia berlarutan sehingga terjadinya kejadian semalam," katanya.

Che Mas mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Salleh Eizan, 61, dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak berusia antara 39 dan 26 tahun.

Allahyarham Safsufarnisya pula berkahwin dengan suspek selepas bertemu ketika menjalani latihan praktikal dalam bidang pengurusan forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis beberapa tahun lalu.

Jenazah Safsufarnisya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Terdahulu, kenalan, rakan sekampung Allahyarham dan sanak saudara hadir menziarahi keluarga mangsa.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru'sele Eizan yang juga adalah bapa saudara mangsa.



Disiarkan pada: Mac 6, 2023 @ 12:44pm










Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-3-2023 08:23 PM | Show all posts
'Saya maafkan menantu walaupun dua nyawa jadi korban' - Bapa Safsufarnisya


Oleh Aizat Sharif - Mac 6, 2023 @ 8:16pm bhnews@bh.com.my




Safsufarnisya (gambar kecil) maut ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal dalam kejadian di Kangar, kira-kira 6 pagi semalam. NSTP/Aizat Sharif





KANGAR: "Terus terang, saya memaafkan apa yang dia (menantu) lakukan dan terima ujian ini seadanya kerana saya sudah anggapnya macam anak saya sendiri."

Begitulah luahan ikhlas Salleh Eizan, 63, yang juga bapa kepada suri rumah Allahyarham Safsufarnisya Salleh, 26, yang maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di kediaman mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini hari ini.

Salleh berkata, walaupun pada mulanya dia agak sukar untuk menerima dengan apa yang berlaku terutama membabitkan kehilangan nyawa anaknya, dia akhirnya pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

"Ketika kejadian berlaku, saya susah untuk terima keadaan ini namun hari ini saya sedikit demi sedikit mula menerima keadaan yang berlaku dan redha dengan kehendak Allah.

"Saya juga sudah menganggap menantu (suspek) sebagai anak saya sendiri jadi segala apa yang berlaku itu, saya maafkan," katanya.

Sementara itu, isteri Salleh, Che Mas Taha, 63 berkata, selepas kejadian yang berlaku itu, dia dan keluarganya ada membuka almari pakaian di bilik anak bongsunya itu dan terkejut apabila terdapat beberapa pakaian bayi tersimpan kemas dalam plastik di dalam almari itu.

"Adik (Safsufarnisya) dengan suaminya, rupa-rupanya sudah menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran bayi sulung mereka tanpa pengetahuan kami.

"Memang kami tahu Adik sedang hamil tetapi kami tidak pula tahu bila mereka beli baju dan seluar bayi ini malah apabila melihatnya baju dan seluar bayi itu kami menjadi sedih dan sayu teringatkan Adik," katanya.

Selain itu juga, salah seorang kakak mangsa, Safsuzafira, 37 mendedahkan bahawa adik bongsunya itu ada menulis di cermin meja solek di bilik pasangan itu dengan gincu yang tertera 'Welcome Junior Ijat' sebagai menandakan kehamilan anak sulung pasangan itu.

Terdahulu, Salleh dan Che Mas menerima kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang meluangkan masa selama 30 minit berkunjung ke rumah mereka dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru'sele Eizan yang juga adalah bapa saudara mangsa, pimpinan kanan Polis Perlis dan Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop.

Jenazah Safsufarnisya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat, Kangar selepas Isyak semalam.

Semalam, Safsufarnisya yang juga suri rumah maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di Simpang Empat, Kangar.

Kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi di dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Mac hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-5-2024 06:47 PM GMT+8 , Processed in 0.062134 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list