CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 248|Reply: 0

[Perlis] Sayu 'tarik' mayat wanita hamil bawah runtuhan, suami pula meraung kesedihan

[Copy link]
Post time 27-2-2023 01:39 PM | Show all posts |Read mode
Sayu 'tarik' mayat wanita hamil bawah runtuhan, suami pula meraung kesedihan


Oleh Aizat Sharif - Februari 27, 2023 @ 1:25pm bhnews@bh.com.my




Anggota SMART Malaysia ketika misi SAR di Gaziantep, Turkiye. - Foto ihsan SMART




KANGAR: Pengalaman mengeluarkan mayat wanita hamil di balik timbunan runtuhan bangunan di Nurdagi, Gaziantep antara pengalaman menyayat hati dilalui Mohamad Shahidan Abd Razat, ketika menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye, baru-baru ini.

Lebih pilu, kata pegawai bomba kanan II itu apabila terpaksa berdepan dengan suami wanita terbabit yang meraung kerana tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat mayat isteri dan anak dalam kandungan yang maut dalam keadaan sangat dahsyat.

Mohamad Shahidan yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis antara 140 yang menyertai misi Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia Khas (SMART) susulan gempa bumi kuat yang melanda Turkiye pada awal Februari lalu.

Daripada jumlah itu, 36 membabitkan anggota JBPM dari seluruh negara termasuk dari pasukan elit JBPM iaitu Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Bercerita lanjut mengenai pengalaman itu, anak jati Kuala Kangsar itu berkata, ketika mayat wanita hamil itu dikeluarkan dari runtuhan, seorang lelaki yang juga suaminya datang bertanyakan sama ada mangsa itu adalah isterinya.

Sebaik pasti mayat itu isterinya, katanya, lelaki itu terus meraung ketika melihat keadaan isteri dan anak dalam kandungan maut dalam keadaan sangat dahsyat.

"Situasi agak tegang, namun ia menyayat hati tatkala melihatkan keadaan mangsa....mujurlah polis dan tentera Turkiye berjaya mententeramkan keadaan.

"Sebagai anggota pasukan penyelamat, saya sendiri turut terkesan seketika dengan situasi itu, namun kami harus sentiasa profesional dan terus menjalankan tugas tanpa diselubungi perasaan atau sentimen yang mampu menggugat penugasan di Turkiye itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perbarisan Tahunan JBPM Negeri Perlis di Dataran Ibu Pejabat JBPM Perlis, Persiaran Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.



Mohamad Shahidan menunjukkan lencana anggota STORM Malaysia. - NSTP/ AIZAT SHARIF


Anggota JBPM yang terbabit misi mencari dan menyelamat SMART ke Turkiye. - Foto ihsan JBPM

Mohamad Shahidan mengakui selain 'berperang' suasana dan masa, anggota penyelamat turut 'diasak' cuaca agak sejuk sehingga ada yang deman dan selsema sehingga terpaksa dirawat di Hospital Serdang selepas pulang ke tanah air.

"Selepas tiba di Istanbul, kami menaiki satu lagi penerbangan selama dua jam ke 'ground zero' di Gaziantep. Pada hari pertama sehingga ketiga, kami 'dicabar' suhu terlalu ekstrem di mana ketika waktu tengah harinya ia hanyalah sekitar empat hingga enam darjah celsius sahaja.

"Menjelang malam hingga pagi pula, suhu menurun antara -10 hingga -12 darjah celsius dan bayangkan pada peringkat awal, kami hanya berbekalkan baju sejuk yang biasa dipakai di Malaysia walhal cuaca sejuknya itu melangkaui suhu sejuk yang normal.

"Alhamdulillah, sesukar mana pun rintangan, kami tetap laksanakan amanah dan tanggungjawab diberikan negara dengan baik dan sempurna dan dalam 15 hari di sana, SMART Malaysia berjaya membawa keluar 50 mangsa gempa bumi termasuk lima masih hidup," katanya.

Sepanjang penugasan di Turkiye, Mohamad Shahidan berkata, dia tidak mengalami masalah dari segi kesihatan, namun mengalami demam dan selsema selepa spulang ke Malaysia.

"Syukur semuanya sudah pulih dan bertugas kembali walaupun ada seorang masih dirawat di Hospital Serdang kerana mengalami penurunan oksigen sangat rendah" katanya yang sudah 16 tahun berkhidmat bersama JBPM.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 08:13 PM GMT+8 , Processed in 0.054617 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list