Air Asia tampil menjelaskan gambar tular kerusi pesawat penerbangan itu dipenuhi dengan pita pelekat kuning baru-baru ini.
Pegawai Komunikasi Air Asia, Amzar Anizam berkata kepada Majoriti, perkara itu terjadi susulan kekurangan bahan gantian dalaman.
 Tangkap layar kerusi pesawat Air Asia yang ditampal dengan pelekat kuning.
"Buat masa sekarang bukan sahaja Air Asia, tetapi rata-rata syarikat lain turut berhadapan dengan masalah yang sama dan kami terpaksa meneruskan penerbangan seperti yang dijadualkan.
"Kalau tidak, kami boleh gantikan dengan pesawat yang lain cumanya ia akan menjejaskan masa dan tiket penerbangan penumpang yang sudah menunggu di lapangan terbang.
"Jadi daripada jadual terpaksa ditunda, lebih baik ia diteruskan kerana yang rosak bukan di bahagian enjin ataupun sistem lapangan, kalau tunda nanti lagi ramai yang akan marah," katanya.
Amzar sekali lagi memohon maaf kepada penumpang yang terkesan dengan perkara itu sekali gus menegaskan pihaknya tidak akan sesekali mengabaikan keselamatan penumpang.
"Kami tak akan meneruskan penerbangan kalau bukan kerana isu kerosakan yang besar, jadi perkara itu hanyalah isu kecil yang tidak melibatkan kerosakan pada pesawat jadi sepatutnya tiada masalah.
"Sekurang-kurangnya penumpang sampai dengan selamat dalam masa yang ditetapkan dan tiada sebarang isu 'flight delay' berlaku," ujarnya.
Pun begitu, Air Asia sehingga kini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu. - CARI
|