|
PETALING JAYA – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pagi ini, memberi bayangan telah menerima tawaran Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga penasihat belia Johor.
Khairy ketika ditanya penyampai Hot FM, AG, tentang tawaran tersebut yang pernah tular baru-baru ini, memaklumkan akan membuat pengumuman tentang perkara itu dalam masa terdekat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana telah menjemput saya menjadi sebahagian daripada JDT, sukan terbaik di Malaysia setakat ini dan Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan umumkan penglibatan saya dengan pasukan JDT,” katanya.
Ketika disoal lagi adakah perkara tersebut benar, beliau yang mula bertugas sebagai penyampai di Hot FM hari ini menegaskan, ia adalah perkara serius.
“Lebih kurang (serius). Takkan tak serius, dulu orang kata (sertai) Hot FM tak serius ternyata hari ini serius.
“Tapi agak konflik la sebab saya penyokong Kedah, mak saya orang Kedah,” tambahnya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan TMJ menerusi akaun rasmi Facebooknya, memberi bayangan bahawa Khairy akan menjadi CEO JDT dan juga penasihat belia Johor. – CARI
Sumber: Kosmo |
|