Amaran demi amaran dikeluarkan Polis Diraja Malaysia ternyata tidak memberi kesan ke atas segelintir pemandu yang tetap berdegil menggunakan lorong kecemasan dan memotong barisan sepanjang Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina.
Masih ada segelintir pemandu dikesan menggunakan lorong kecemasan dalam operasi di Lebuhraya Utara-Selatan.
Tinjauan Sinar Harian bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Lebuhraya Utara-Selatan mendapati pemandu terbabit sedar melakukan kesalahan bagaimanapun pelbagai alasan diberikan bagi mengelak dari disaman.
Antara alasan yang diberikan pemandu terbabit apabila ditahan anggota bertugas, antaranya 'tidak tahan untuk membuang air, dan 'laluan dihalang kenderaan berat'.
Salah seorang anggota JSPT memegang salah satu unit dron sebelum berlepas ke udara
Dalam pada itu, ketika ditahan, ada juga segelintir pemandu meminta bukti daripada pihak polis yang menunjukkan mereka telah melanggar peraturan trafik.
Dengan menggunakan dron, pihak polis mempunyai keupayaan untuk menonton suapan video dari jarak jauh dan merakam segala salah laku pemandu terbabit.
Pemantaun dari udara dapat dilakukan dan suapan video dapat ditonton pengendali dron dari jarak jauh.
Bagaimanapun, selepas dipaparkan bukti rakaman video berkenaan ada jugaa segelintir individu terbabit yang masih tidak berpuas hati dan terus berdolak-dalik serta memberi pelbagai alasan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Radi Abd Rahman berkata, pemantauan menggunakan dron berkenaan banyak membantu polis bagi memastikan peraturan trafik sentiasa dipatuhi.
Katanya, kesalahan yang kerap dikesan sepanjang Op Selamat 19 adalah menggunakan lorong kecemasan.
"Kita buat pemantauan bukan hanya menerusi Op Payung tetapi juga menggunakan dron bertujuan mendatangkan kewaspadaan kepada pengguna jalan raya walaupun tiada kelibat anggota polis.
"enggunaan dron ini juga bertujuan menjamin kelancaran lalu lintas yang pada petang ini yang kita jangka akan berlaku kesesakan di beberapa kawasan," ujar beliau.
Sumber: Sinar Harian |