View: 704|Reply: 0
|
Sanjna Suri mahu pecahkan stereotaip
[Copy link]
|
|
SANJNA SURI
Sanjna Suri mahu pecahkan stereotaip
CANTIK, seksi dan berbakat. Itu antara pakej lengkap yang dimiliki pendatang baharu, Sanjna Suri untuk menghiasi layar dunia seni hiburan sebagai pelakon.
Mula menyertai dunia glamor sejak lima tahun lalu, Sanjna memulakan langkah awal apabila menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik dan seterusnya mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Selepas yakin dengan kemampuan diri, gadis berbangsa Punjabi itu akhirnya tekad untuk melangkah setapak lagi ke hadapan apabila mahu serius menceburi bidang lakonan dan menembusi pasaran Melayu.
Fasih dalam berbahasa Melayu menjadi satu kelebihan buat pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 itu untuk mencuba nasib menjadi pelakon bukan Melayu dalam menembusi pasaran tempatan.
Bagaimanapun, wanita berusia 27 tahun itu enggan dipandang daripada kecantikan yang dimilikinya semata-mata. Dia mahu dinilai dengan bakat yang ada.
“Saya sangat berdedikasi untuk mengasah bakat yang ada. Saya minta supaya orang lain tidak memandang saya kerana rupa sahaja, tetapi menerima saya kerana bakat dalam lakonan.
“Sebelum ini saya dikenali sebagai ratu cantik dan model, tetapi untuk kali ini, saya mahu diri saya dikenali sebagai pelakon. Gelaran ratu cantik itu sudah berlalu,” ujarnya.
Demi mengejar cita-citanya sebagai pelakon, Sanjna tekad mengambil keputusan tidak mahu lagi menyertai pertandingan kecantikan, selain kurang mengambil tawaran peragaan.
Muslim bertudung
“Sekarang saya berusaha untuk dikenali sebagai pelakon. Saya sudah tidak lagi menyertai pertandingan ratu cantik. Minat saya memang dalam dunia lakonan,” katanya ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.
Tambah Sanjna lagi, dia terbuka untuk membawakan apa jua watak termasuk watak seorang wanita Muslim bertudung.
Wanita berketinggian 170 sentimeter itu juga memecah stereotaip bahawa pelakon bukan Melayu juga boleh memegang watak gadis Muslim bertudung.
“Saya akui sangat susah untuk menembusi pasaran hiburan tempatan kerana saya bukan Melayu. Saya selalu dapat watak wanita India atau berdarah campuran kerana wajah dan identiti saya.
“Saya mahu pecahkan stereotaip tersebut kerana benar-benar berminat untuk berada dalam pasaran arus perdana. Saya tidak kisah watak saya itu memerlukan saya memakai tudung, babak aksi atau tomboi.
“Saya 100 peratus terbuka menerima watak wanita Muslim. Saya menghormati semua agama dan saya pun memang membesar dalam kalangan orang Melayu,” ujarnya.
Untuk mengasah bakat yang ada, Sanjna sebelum ini juga pernah menghadiri beberapa bengkel lakonan bersama pelakon tersohor, Fauziah Ahmad Daud dan menjadi watak cameo dalam beberapa drama popular.
SEBAGAI pelakon, Sanjna sanggup membawakan apa sahaja watak kerana mahu mencabar
bakat seninya.
“Untuk drama Melayu, saya bermula dengan watak sampingan dalam naskhah Pengantin Satu Malam di samping Amelia Henderson dan Nazim Othman.
“Sebagai pendatang baharu, saya tak boleh terlalu memilih dan mengambil tawaran yang datang, dalam masa yang sama, saya harap saya boleh memberikan kelainan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Sanjna, Mundey Kampung Dey kini ditayangkan di pawagam bermula 15 Disember lalu.
Filem yang mendapat dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu diarahkan oleh Mansher Singh.
“Saya memegang watak heroin bernama Keeran. Apa yang menariknya, filem ini merupakan naskhah Punjabi tempatan pertama yang dihasilkan di Malaysia.
“Saya tak sangka lakonan saya mendapat respons positif media Pakistan. Mereka menggemari keserasian saya dan hero, Anwaar Beg Moghal.
“Saya teruja kerana filem ini juga berada dalam fasa perbincangan untuk ditayangkan di Pakistan. Saya berharap peminat dapat menyokong karya ini dengan menonton di pawagam,” katanya.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/01 ... ecahkan-stereotaip/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|