View: 369|Reply: 0
|
Pan Gon mahu Mickey terus ledak gol
[Copy link]
|
|
Pemain Malaysia, Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR: "Saya mahu kamu jadi penjaring terbanyak."
Itu pesanan yang dititipkan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon kepada Faisal Halim yang ketika ini jelas berada dalam prestasi terbaiknya selepas meledak dua lagi gol untuk membantu Harimau Malaya 'kenduri' 5-0 ke atas Laos, malam tadi.
Perkara itu didedahkan pemain berusia 24 tahun itu ketika ditemui selepas perlawanan meskipun dia mengakui anugerah penjaring terbanyak bukanlah keutamaan buat dirinya.
"Ini sebenarnya satu tanggungjawab yang besar dan saya ambil cabaran yang diletakkan oleh jurulatih Pan Gon. Jurulatih berpesan kepada saya dan saya lihat riak wajahnya yang memang benar benar mahukan saya menjadi penjaring terbanyak.
"Tetapi ini bukanlah soal utama kerana bukan gol yang saya cari tetapi saya mahu bawa pasukan ke tahap yang lebih jauh. Siapa pun yang jaringkan gol tidak penting asalkan kami menang dan layak ke final.
"Semua ini pun (jaringan) adalah rezeki dan bukannya kerana saya hebat ataupun saya bintang. Terima kasih pada rakan sepasukan kerana mereka yang membantu saya untuk menjadi seperti sekarang," katanya.
Dengan dua gol terbabit, pemain baharu Selangor FC (SFC) itu kini berjaya meledak empat gol dalam empat perlawanan berturut turut yang menyaksikan Kemboja, Maldives serta Myanmar menjadi 'mangsanya' setakat ini.
Bagi edisi 2020, penjaring terbanyak meledak empat gol iaitu Safawi Rasid, Bienvenido Maranon (Filipina), Chanathip Songkrasin serta Teerasil Dangda (Thailand) dan bagi edisi 2022, Faisal sudah meledak tiga gol namun terikat bersama pemain Filipina, Kenshiro Daniels.
Malah, ketika ditanya mengenai prestasi Faisal yang lebih mesra disapa sebagai 'Mickey' itu, Pan Gon menegaskan dia adalah pemain yang baik namun tumpuan perlu diberikan kepada keseluruhan pasukan.
"Anda tahu saya tidak mahu bercakap mengenai individu semata mata kerana lebih penting untuk fokus kepada satu pasukan. Dia (Faisal) pemain yang bagus (he's good)," kata Pan Gon secara ringkas.
https://www.bharian.com.my/sukan ... key-terus-ledak-gol |
|
|
|
|
|
|
| |
|