|
SALT Bae bersama Lionel Messi dan pemain Argentina lain meraikan kejayaan pasukan itu muncul juara Piala Dunia.
LONDON: Badan bola sepak dunia, FIFA sedang menyiasat bagaimana chef selebriti, Salt Bae mendapat akses memasuki padang untuk menyertai pasukan Argentina selepas perlawanan akhir Piala Dunia Qatar.
Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce yang berasal dari Turki menyiarkan beberapa gambar dia bersama trofi Piala Dunia di media sosial selepas perlawanan Ahad lalu.
Bae, 39, yang memiliki rangkaian restoran stik mewah dan menjadi terkenal melalui beberapa siri video internet yang tular pada 2017, juga dilihat cuba bergambar dengan Lionel Messi dan beberapa rakan sepasukan Argentina.
Kehadirannya sejurus selepas penyampaian trofi itu kini menjadi subjek siasatan FIFA selepas mendapat kritikan meluas.
“Selepas melakukan semakan, FIFA mengambil ketetapan bagaimana seorang individu mendapat akses masuk ke padang selepas majlis penutup di Stadium Lusail pada 18 Disember lalu.
“Tindakan dalaman yang sewajarnya akan diambil,” kata seorang jurucakap FIFA kepada BBC.
Awal bulan ini, Salt Bae menyiarkan imejnya di Instagram pada perlawanan Piala Dunia bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino, dan pemain hebat Brazil, Ronaldo, Cafu serta Roberto Carlos. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... i-pemain-argentina/ |
|