Permohonan peguam Ebit Lew untuk melarang pihak media daripada melaporkan perkataan sensitif sepanjang prosiding kes pendakwah terkenal itu tidak dilayan Mahkamah Majistret Tenom di Sabah.
Keputusan itu dibuat berdasarkan hujahan kedua-dua pihak.
Kredit foto: FB
Lapor Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata, pihak pendakwaan turut membantah permohonan dikemukakan peguam Ram Singh kerana sependapat dengan mahkamah bahawa media mempunyai hak melaporkannya.
“Kes dibicarakan dalam mahkamah awam dan bukti diberikan di dalam mahkamah awam. Media tidak boleh bersifat selektif dalam memilih atau memutuskan perkara yang sensitif kepada tertuduh atau pengadu.
“Oleh itu, kami tidak bersetuju dengan permintaan itu,” katanya sebelum memulakan pemeriksaan balas terhadap saksi ketiga, Firdaus Wong.
Kredit foto: Harian Metro
Ebit pada 18 Feb didakwa atas 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 41 tahun di Tenom, Sabah selain didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa menerusi aplikasi sembang WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.
Pendakwah itu sebelum ini dibenarkan mahkamah untuk diikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - CARI
|