|
Lebih 100 alami halusinasi, bayam ditarik balik di Australia
https://www.bharian.com.my/dunia ... -balik-di-australia
Disember 21, 2022 @ 9:36am
Foto hiasan
SYDNEY: Lebih 100 orang di Australia dilaporkan mengalami halusinasi, kecelaruan dan tindak balas yang mengubah fikiran selepas memakan bayam yang dicemari tumbuhan misteri.
Pengarah Perubatan Pusat Maklumat Racun New South Wales, Darren Roberts, berkata mangsa dilaporkan tidak dapat melihat dengan jelas, bingung dan mengalami halusinasi.
"Kita bercakap mengenai halusinasi yang menakutkan, tiada apa yang menyeronokkan," katanya mengenai keadaan mangsa.
Mereka yang memakan bayam tercemar menggambarkan berasa pening atau tidak boleh berdiri, mempunyai penglihatan kabur dan sukar bernafas secara normal.
Seorang wanita berkata, beliau mengalami kebas seluruh badan selepas memakan tujuh auns (200 gram) hidangan bayam yang dimasak.
Menurut pegawai kesihatan, gejala lain yang dilaporkan termasuk kekeliruan, anak mata membesar, degupan jantung yang cepat, muka kemerahan, mulut dan kulit kering.
Sehingga kelmarin, sejumlah 164 orang melaporkan tindak balas dengan mengalami 'reaksi toksik' selepas memakan bayam dan sekurang-kurangnya 42 mendapatkan rawatan perubatan untuk simptom mereka, menurut kemas kini terbaru oleh Kesihatan NSW.
Setakat ini, pegawai belum mengesahkan di mana bayam itu ditanam dan bagaimana ia tercemar, tetapi berkata ia berkemungkinan berpunca daripada satu sumber tumbuhan yang menyebabkan kejadian berkenaan.
Mereka menghantar sampel tumbuhan tercemar ke makmal untuk diuji, namun masih tiada keputusan dikeluarkan kepada orang ramai. - Agensi
|
|