View: 347|Reply: 0
|
Piala Dunia: Mbappe dominan cipta rekod di Qatar
[Copy link]
|
|
MBAPPE dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada edisi Piala Dunia kali ini selepas meledak hatrik pada aksi final awal pagi semalam. – AFP
LUSAIL – Bintang prolifik Perancis, Kylian Mbappe mencipta sejarah baharu apabila muncul pemain pertama meledak hatrik dalam final Piala Dunia sejak legenda England, Geoff Hurst melakukannya pada edisi 1966.
Kejayaan itu dilakukannya sewaktu final Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, Qatar awal pagi semalam yang berkesudahan Perancis tewas 2-4 kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 dalam tempoh 120 minit permainan.
Menariknya, Mbappe kini mempunyai koleksi empat jaringan di pentas final ketika baru berusia 23 tahun selepas meledak satu gol buat Perancis ketika menewaskan Croatia 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018.
Jumlah itu sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang bersama oleh beberapa legenda dunia termasuklah Hurst, Pele (Brazil), Vava (Brazil) dan Zinedine Zidane (Perancis).
“Walau apa sekalipun, tahniah buat Mbappe. Saya menikmati rekod yang panjang ini,” menurut ciapan yang dimuat naik Hurst dalam laman Twitternya.
Ia membolehkan Mbappe dinobatkan pemenang Anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol, berkelebihan satu jaringan ke atas kapten Argentina, Lionel Messi.
Bukan itu sahaja, gol ketiga Mbappe dalam aksi final tersebut secara tidak langsung memastikan edisi Qatar kali ini mengukir sejarah baharu iaitu gol terbanyak dalam sejarah penganjuran Piala Dunia.
Mbappe menjaringkan gol itu menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Argentina, Gonzalo Montiel untuk mengikat kedudukan 3-3 sekali gus merupakan jaringan ke-172 kejohanan.
Jumlah itu mengatasi rekod jaringan terbanyak sebelum ini iaitu 171 sewaktu edisi 1998 di Perancis dan 2014 di Brazil dengan pasukan paling banyak menyumbang jaringan dalam edisi kali ini adalah Perancis menerusi 16 gol.
Argentina pula muncul pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol iaitu 15 diikuti England (13 gol), Portugal (12 gol), Belanda (10 gol), Sepanyol (9 gol) dan Brazil (8 gol).
Dalam masa sama, kesemua 32 pasukan kali ini berjaya merakam jaringan termasuklah lima negara yang hanya berupaya menjaringkan satu gol iaitu tuan rumah Qatar, Belgium, Denmark, Tunisia dan Wales.
Argentina juga mendominasi edisi kali ini apabila tiga pemainnya memenangi anugerah individu seperti Messi (Pemain Terbaik), Emiliano Martinez (Penjaga Gol Terbaik) dan Enzo Fernandez (Pemain Muda Terbaik). – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/12 ... pta-rekod-di-qatar/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|