CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 381|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] 'Ditakdirkan Allah pertemukan kami'

[Copy link]
Post time 22-10-2022 03:34 PM | Show all posts |Read mode

MOHD Zulfitri Mohd Basir membantu lelaki warga emas ditemui di surau sebuah stesen minyak.Pix 2-3: LELAKI warga emas dibantu Mohd Zulfitri Mohd Basir di stesen minyak.

Kuala Lumpur: Pertemuan tanpa sengaja dalam surau menjadi asbab untuk Mohd Zulfitri Mohd Basir membantu lelaki warga emas yang dalam keadaan memerlukan.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Mohd Zulfitri, 38, berkongsi video sewaktu pertemuan dengan lelaki terbabit di TikTok.

Perkongsian video itu juga meruntun hati netizen dengan rata-ratanya mendoakan Mohd Zulfitri dimurahkan rezeki kerana membantu insan dalam kesusahan.


Berkongsi kisah di sebalik video dimuat naik, Mohd Zulfitri berkata, dia terserempak dengan lelaki terbabit Selasa lalu ketika singgah di surau stesen minyak dekat Jalan Ampang, di sini.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan memandangkan jalan sesak, saya singgah ke sebuah stesen minyak berhampiran untuk solat Maghrib di situ.

"Sewaktu duduk dalam surau, ada seorang pak cik dalam keadaan bongkok dengan tangan berbalut menyapa saya dan tanya bila masuk waktu Maghrib.

"Kebetulan, sudah hampir masuk waktu jadi saya ajaknya berjemaah sekali dengan dia solat duduk atas kerusi.

"Selesai solat, dia tanya saya di mana lagi mesin pengeluran wang automomatik (ATM) terdekat kerana katanya sudah cuba keluarkan RM30 di ATM stesen minyak tetapi tidak berjaya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Zulfitri berkata, dia tidak tahu apa masalah sebenar yang berlaku sehingga diceritakan lelaki terbabit.

"Menurut pak cik itu, dia mahu pulang ke Kajang selepas pulang daripada hospital bagi membuka simen tangannya yang patah.

"Dia menunggang motosikal namun gasketnya rosak dan ada kebocoran jadi pakcik itu mahu beli minyak hitam namun duitnya tidak cukup. Dia cuba minta salah seorang anaknya yang belajar di universiti untuk bantu tetapi anaknya juga tiada duit.

"Lebih menyedihkan apabila pak cik itu beritahu isterinya di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan kerana menghidap barah tahap tiga jadi itu yang membuatkan saya tersentuh," katanya.

Melihat keadaan lelaki terbabit, Mohd Zulfitri cuba membantu dengan membelikan minyak hitam.

"Saya ada juga tawarkan untuk menghantar motosikal pak cik itu ke bengkel berhampiran namun dia enggan kerana jauh dengan rumahnya di Kajang.

"Ketika bersembang, pak cik itu ada beritahu dia tidak makan daripada pagi jadi saya belikannya juga makanan dan minuman.

"Sebelum ke motosikal, saya ada berborak lagi dengannya dan pakcik itu beritahu yang dia pernah berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) namun pencen awal.

"Katanya, dia ada empat anak, tiga kini menuntut di universiti manakala seorang lagi masih bersekolah di Tingkatan Empat, serta pernah bekerja sebagai pemandu lori juga pembantu di stesen minyak untuk menyara keluarga.

"Pak cik itu juga beritahu dia ada duit RM300 sebelum itu tetapi digunakan untuk membayar wang pendahuluan hospital isterinya jadi atas sebab itu, saya membantunya.

"Ia kerana saya nampak pak cik itu bukanlah tiada wang dan hendak meminta tetapi keadaan yang memaksanya. Lagipun, saya yakin dia orang yang baik malah ditakdirkan Allah mempertemukan kami sebagai asbab untuk saya membantunya," katanya.

Menurut Mohd Zulfitri, dia pada asalnya hanya berkongsi kisah itu di Facebook (Fb) namun tidak menyangka ia akan tular selepas memuat naik video sama di TikTok.

"Niat saya adalah untuk berkongsi kisah perjuangan seorang bapa dan suami yang sanggup melakukan apa saja untuk keluarganya.

"Menerusi video itu, saya juga berharap mereka yang menonton dapat mesej cuba disampaikan iaitu sentiasa bersyukur dengan apa sahaja rezeki yang ada kerana ada ramai yang jauh lebih susah daripada kita.

"Saya sendiri pernah berada di tempat pakcik itu dulu ketika motosikal rosak dan baru selesai menjalani pembedahan apendiks namun tiada yang menolong ketika itu. Jadi saya bantu pakcik itu kerana faham dia tentunya mengharapkan seseorang untuk membantu," katanya yang sebelum ini aktif dalam aktiviti khidmat masyarakat.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... lah-pertemukan-kami
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

10-5-2024 09:36 AM GMT+8 , Processed in 0.158539 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list