CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 343|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Naluri kebapaan tersentuh

[Copy link]
Post time 20-10-2022 01:56 PM | Show all posts |Read mode

IDRIS dan Nurul Afiqah bersama Dr KC Tan.

Kuala Lumpur: Tersentuh melihat penderitaan dialami pesakit biliary atresia (hati kronik) membuatkan Idris Mohamad, 50, tampil untuk menderma hatinya buat seorang bayi perempuan, kira-kira 22 tahun lalu.

Bagaimanapun, Nurul Afiqah Mohd Zahir yang berjaya menjalani pemindahan hati meninggal dunia pada usia 18 tahun pada 2018 selepas doktor memaklumkan salur darahnya mengecut.

Aktivis sosial itu berkata, sebenarnya dia terpanggil untuk menderma organ berkenaan selepas mengetahui kisah Nurul Afiqah mencari hati baharu sehingga menyentuh naluri kebapaannya walaupun tiada pertalian darah.


"Saya tidak pernah kenal adik (Nurul Afiqah) itu, tetapi saya dapat merasakan penderitaannya selepas mengikuti perkembangannya melalui media massa.

"Ketika itu hati rasa amat tersentuh melihat penderitaan dia kerana belum mempunyai penderma hati yang sesuai untuk meneruskan kehidupannya.

"Malah, semua 17 individu sebelum saya sudah membuat ujian pemeriksaan, tetapi tidak layak untuk membantu anak kecil itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selepas memohon restu keluarga termasuk isterinya, Idris mencuba nasib dengan mendaftar diri sebagai penderma organ untuk membantu Nurul Afiqah.

"Kali pertama berjumpa semasa dia berusia setahun dengan ditemani bapanya. Saya peluk dan mendukungnya seolah-olah kami sudah lama kenal.

"Selepas semua persiapan dan pelbagai ujian dilakukan, akhirnya hati saya disahkan sepadan untuknya.

"Kami menjadi individu kedua di Malaysia yang menjalani pembedahan hati di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) diketuai Datuk Dr KC Tan pada September 2000," katanya.

Katanya, selepas pembedahan itu, Nurul Afiqah dapat meneruskan hidup sehingga usianya mencecah 18 tahun.

"Doktor sebelum itu memaklumkan, dia mungkin dapat bertahan antara lapan hingga 10 tahun sahaja, tetapi Alhamdulillah kuasa Allah, dia dapat meneruskan hidup dan berpeluang bersekolah seperti rakan sebaya sehingga berusia 18 tahun.

"Sampai sekarang saya masih menghubungi keluarganya di Jitra, Kedah dan datuknya di Hulu Langat. Mereka juga menganggap saya macam ahli keluarga mereka.

"Boleh dikatakan setiap Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berjumpa dia dan keluarganya. Begitulah sebaliknya," katanya.

Idris berkata, Nurul Afiqah yang dianggap seperti anak kandungnya akhirnya meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 2018.

"Doktor memaklumkan salur darahnya mengecut dan tiada ruang lagi untuk sebarang rawatan termasuk pemindahan darah.

"Arwah menghembuskan nafas terakhirnya depan mata saya. Saya sangat sedih dan merinduinya kerana sejak kecil sampai bila-bila pun saya anggap arwah macam anak saya sendiri.

"Saya tidak ralat menyumbang hati untuknya selama ini, semoga Allah sentiasa memberikan kesejahteraan dan kerahmatan kepada rohnya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -kebapaan-tersentuh
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

10-5-2024 10:23 AM GMT+8 , Processed in 0.078563 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list