|
"Selalunya jika saya dihubungi terus, saya akan bekerja mengikut bajet mereka, kesesuaian waktu dan juga logik harga mengikut besar kecil syarikat itu."
Demikian kata pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi apabila dia dikatakan menjadi antara pengacara yang mendapat bayaran mahal.
Berdasarkan hantaran video dimuat naik pengguna di aplikasi TikTok dengan tajuk Top 7 Bayaran Pengacara Selebriti Termajal, Aznil yang mesra disapa Paknil dibayar antara RM25,000 hingga RM28,000.
IG Aznil
Malah, turut berada dalam senarai itu ialah Nabil Ahmad (RM40,000); Zizan Razak (RM30,000); Datuk AC Mizal (RM28,000); Awal Ashaari (RM25,000); Raja Azura (RM23,000) dan Fara Fauzana (RM20,000).
Aznil, 60, berkata, dia tidak mengetahui bayaran sesama pengacara lain selain sering dihubungi pihak ketiga bagi sebarang tawaran kerja.
"Sebenarnya kami antara pengacara pun tak tahu harga masing-masing. Mungkin orang yang buat video itu adalah antara klien yang pernah minta sebut harga untuk tujuan menggunakan perkhidmatan kami.
"Harus diingat bahawa ada masa kami tidak pernah berurusan langsung dengan klien. Kebanyakan yang menghubungi kami adalah ejen pengurusan acara. Saya pasti harga kami akan tampak lebih mahal di mata klien apabila ejen ini meletakkan komisen mereka atas sebut harga sebenar kami.
"Berapa jumlah tambahan komisen ejen adalah di luar kawalan kami. Mungkin besar kecil komisen ejen ini yang menyebabkan mahal murahnya yuran kami di mata klien," katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, Aznil berkata, dia juga kerap tidak mengambil sebarang bayaran membabitkan acara kebajikan.
"Kerap kali juga saya tidak mengambil bayaran langsung atas tujuan acara yang berbentuk kebajikan, kerajaan untuk rakyat dan seumpamanya," katanya.
Terdahulu, Nabil dalam satu kenyataan berkata dia tidak pernah mendapat bayaran setinggi itu.
Menurut Nabil, sepanjang 14 tahun terbabit dalam bidang seni, apa yang menjadi keutamaan adalah menjalin hubungan baik dalam jangka masa panjang dengan semua pihak yang pernah bekerjasama dengan dirinya.
Sumber: Harian Metro |
|