|
Anak jaga 'content' TikTok Faizal Hussein
FAIZAL bersama isteri, Suhaila serta anak-anak, Fazryn (dari kiri) dan Fazrick. FOTO Instagram Faizal Hussein
Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber, Faizal Hussein, 55, menyerahkan tanggungjawab untuk membuat 'content' (kandungan) TikTok miliknya kepada anak sulung, Fazryn Faizal, 17, yang disifatkannya sesuai daripada perspektif anak muda.
Faizal berkata, anak-anak generasi muda masa kini memang lebih arif dengan pelbagai perkembangan teknologi, terutama perkongsian idea untuk menghasilkan 'content' video di media sosial.
"Ikutkan saya sendiri mulanya tidak begitu pandai dengan teknologi. Tapi, anak sulung saya, Fazryn yang bertindak mengelolakan semua 'content' video di TikTok itu. Saya pun tiada masalah untuk menerima apa saja pandangannya.
"Walaupun lebih berusia, tapi tiada salahnya juga saya mendengar dan menerima pandangan daripada orang muda seperti Fazryn. Lagipun, ideanya saya tengok kreatif dan 'content' video dihasilkan juga amat sesuai," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi filem Daddyku Gangster lakonannya di sebuah hotel, di sini.
Hadir sama menjayakan sesi fotografi berkenaan ialah pelakon Zul Huzaimy serta dua bakat cilik adik-beradik, Angelica Petra, 10, dan Arryyan Petra, 4.
Filem Daddyku Gangster akan menemui penonton di pawagam mulai 1 Disember depan.
Faizal berkata, dia kini aktif dengan TikTok disebabkan tuntutan kerja.
Katanya, menjadi salah satu syarat dalam kontrak lakonan sekarang agar pelakon membuat video untuk mempromosi produk lakonan di media sosial seperti TikTok.
"Saya bersyukur isteri dan anak-anak banyak membantu saya dalam penggunaan teknologi ini. Saya memang banyak belajar daripada mereka dan kami sekeluarga bekerja dalam satu kumpulan.
"Saya pun tak sangka, ada video-video saya di TikTok sudah mencatat lebih sejuta tontonan. Saya amat gembira kerana ia dapat menarik perhatian ramai, termasuk golongan muda untuk menonton," katanya.
Ditanya sokongan kepada dua anaknya jika suatu hari nanti mereka menceburi karier seni, Faizal berkata, dia tidak akan menghalang sekiranya itu adalah minat anak-anaknya.
Katanya, dia lebih suka untuk terus memberi sokongan.
Faizal bertemu jodoh dengan pelakon drama, Suhaila Sulaiman, 44, pada 2004. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Fazryn dan Fazrick Faizal, 14.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... ktok-faizal-hussein
|
|