|
Azrel Ismail mendedahkan ada pihak tertentu yang pernah mengesyorkan kepadanya melakukan gimik dan mencipta kontroversi untuk lebih dikenali.
Pun begitu, tegas Azrel, dia sebolehnya enggan terlibat dalam hal sedemikian kerana lebih percayakan bakat, selain berusaha menjaga imej.
Foto: IG
“Saya memang menjaga nama sejak dari awal memasuki industri. Mungkin disebabkan itu, orang tengok saya tak terpalit sangat dengan kontroversi.
“Ada yang nasihatkan, buatlah kontroversi kalau mahu nama naik cepat dan dikenali. Tetapi, semua orang ada cara tersendiri untuk cipta nama dalam industri dan saya memilih dikenali tanpa bersandar kepada publisiti.
“Saya akan pastikan nama bersih supaya fokus terhadap kerjaya lebih menyerlah. Mungkin sekarang nama saya tidak terlalu meletup, tetapi saya bersyukur kerana tawaran sentiasa ada.
“Saya harap kepercayaan itu kekal sampai bila-bila. Asalkan masih relevan dalam industri, saya sudah cukup gembira,” katanya.
Tambah Azrel lagi, dia pernah diserang netizen selepas memuat naik status yang mengundang kecaman sehingga menyebabkan dirinya berdepan gangguan tidur selama beberapa hari.
“Saya pernah termuat naik status yang mengundang kecaman netizen. Ketika itu, teruk saya diserang. Memang takut sampai membuatkan saya terfikir-fikir sehingga tidak boleh tidur.
“Baru saya tahu itu rasanya apabila diserang netizen. Serangan mereka sangat kuat dan saya pula masih baru serta tidak tahu bagaimana untuk kawal keadaan.
“Sampai satu tahap, saya terpaksa tutup ruangan komen kerana tidak mahu fikiran dibebani dengan komen negatif,” katanya.
Azrel berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton dan sidang media filem terbaharu lakonannya berjudul Biko baru-baru ini.
Selain Azrel, filem arahan Teng Bee yang akan ditayangkan di seluruh negara pada 13 Oktober itu turut dibarisi penyanyi dangdut kontroversi Baby Shima, Sara Ali dan Syed Irfan. -CARI
Sumber: Kosmo
|
|