|
Nad Zainal mengakui lebih tenang dengan kehidupan sekarang sebagai ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata selepas perceraian dengan bekas suami, Muhammad Faliq Amiruddin sekitar bulan lalu.
Tidak bermaksud untuk mendabik dada jauh sekali berasa riak dengan status baharunya, pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin, 32, itu sebaliknya menjelaskan, hidup tetap gembira bahkan hubungannya dengan bekas suami dan anak-anak juga berjalan baik seperti sebelum ini.
Foto: IG
“Kehidupan saya kini lebih gembira sampai berat badan saya bertambah dua kilogram.
“Bukan nak cakap riak sebab tidak terkesan dengan perceraian ini, namun saya rasa lebih tenang.
“Anak-anak berada bawah penjagaan saya. Hubungan dengan bekas suami juga okey,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di set penggambaran telefilem bertajuk Dosa Tak Terampun arahan Bade Azmi.
Dramatis yang popular menerusi drama Fatonah Azali itu bagaimanapun turut bertegas, kisah perceraian bukanlah sesuatu yang seronok untuk dikongsikan. Dia enggan terlalu terbuka berkongsi kisah kegagalan rumah tangganya kepada umum mengenai kerana perlu menjaga hati banyak pihak.
“Saya tak mahu kongsi terlalu banyak hal peribadi kepada umum. Saya perlu menjaga hati banyak pihak, keluarga saya sendiri pun tidak gembira jika saya bercerita terlalu banyak.
“Perceraian ialah perkara yang sedih untuk dikongsi. Kalau boleh nak kongsi lebih banyak tentang kerjaya. Bagi saya tak penting,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nad turut meluahkan pendapat mengenai pendapat ramai yang melemparkan skeptikal bahawa perkahwinan golongan selebriti tidak akan bertahan lama.
“Sebenarnya tiada masalah pun, ramai sahaja selebriti yang berkahwin dan rumah tangga mereka okey.
“Saya bantah apabila ada orang kata artis bila setiap kali mendirikan rumah tangga akan gagal padahal orang biasa pun ramai juga cerai-berai.
“Bagi saya, semuanya terletak pada pasangan itu sendiri dan bagaimana mereka melalui cabaran dalam rumah tangga,” tuturnya.
Ditanya tentang apa yang dipelajari tentang kegagalan rumah tangga, dia memberitahu perlu melalui semua dugaan secara matang.
“Kita mampu merancang sahaja dan tidak akan pernah tahu bahawa jodoh berakhir di situ.
“Usia pun sudah meningkat, jadi perlulah hadap semua ini dengan cara yang matang. Saya tak suka gaduh-gaduh.
“Buat masa sekarang tak terfikir perkahwinan kedua atau ketiga. Saya kini fokus dengan kerja dan ingin lakukan sesuatu yang belum pernah direalisasikan sebelum ini,” kongsinya.
Pada 3 September lalu, dia mengejutkan ramai apabila mengesahkan sudah berpisah dengan Faliq.
Tidak berkongsi lanjut mengenai punca perceraian sehingga hari ini, dia enggan orang ramai membuat spekulasi tidak berasas mengenai perpisahan dengan bekas suami.
Mendirikan rumah tangga dengan Faliq pada 18 Disember 2015, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom kini berusia setahun. -CARI
Sumber: Kosmo
|
|