Empat individu termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air di sungai berhampiran balai polis lama di Gombak di sini hari ini.
Ketika kejadian, seorang wanita dan tiga anaknya dipercayai sedang berkelah sebelum hujan lebat di kawasan terbabit.
 Anggota bomba menyelamatkan seorang daripada empat individu yang terperangkap dalam kejadian kepala air di sungai di Gombak, Selangor hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.37 dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati empat individu iaitu seorang wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di seberang sungai.
“Kerja-kerja menyelamat dilakukan dan kesemua mangsa disahkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Sumber: UTUSAN |