View: 411|Reply: 0
|
Tiada Lagi Shooting Sampai Lewat Malam, Kalau Tak Kena Bayar 'Overtime' - Zed Zaidi
[Copy link]
|
|
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi sedang dalam usaha mengkaji formula terbaik bagi memastikan setiap pelakon dan kru produksi tidak bekerja lebih masa ketika terbabit dengan penggambaran drama atau filem.
Zed yang kini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, kecanggihan teknologi hari ini sepatutnya boleh menjimatkan masa bekerja supaya mereka tidak terbeban dengan sesi penggambaran yang memakan waktu yang lama dalam sehari.
"Kami sedang mengkaji perkara ini dan masih berusaha mencari formula yang bersesuaian. Apabila bercakap mengenai filem atau drama ia sangat subjektif kerana kalau pembikinan filem hantu pasti penggambaran akan bermula pada waktu malam.
IG Zed
"Namun, masalah wujud apabila waktu bekerja pelakon dan kru yang tidak disusun dengan baik. Contohnya ada pelakon dipanggil bekerja jam 8 pagi, sedangkan jam 11 pagi baru bermula. Perlu ada satu formula terbaik supaya kita dapat hadkan masa bekerja pelakon dan kru. Misalnya kalau tempoh bekerja 12 jam sehari, selebihnya mereka harus dibayar 'overtime'.
"Zaman sudah berubah tapi takkan kita masih tersepit dengan cara penggambaran seperti zaman dulu. Teknologi sekarang pun sudah semakin canggih dan sepatutnya penggambaran boleh selesai dengan cepat. Kalau dulu mungkin memakan masa lama sebab hanya menggunakan satu kamera saja, tapi sekarang kebanyakan produksi menggunakan tiga kamera. Sepatutnya cara ini boleh menjimatkan masa tapi tetap habis lewat," katanya.
Menurut Zed, syarikat produksi tidak sepatutnya membuang masa kru serta pelakon di set penggambaran kerana masa kini ibarat emas.
"Isu kelewatan sesi penggambaran ini bergantung kepada siapa yang menerajui sesuatu karya itu. Jangan membuang masa ramai pihak dan jangan marah jika ada pihak terpaksa meninggalkan set disebabkan tidak pandai menyusun jadual dengan baik.
"enggiat seni bukan hanya terikat dengan satu kerja dalam satu masa, kadang-kadang mereka perlu ke tempat lain untuk menghadiri mesyuarat dan melakukan kerja lain. Finas menerima banyak rungutan mengenai masalah ini.
"Ramai yang masih tersepit dengan sesi penggambaran yang habis lewat sehingga menjejaskan kesihatan mereka. Kalau penggambaran bermula jam 8 pagi, sepatutnya 8 malam sudah selesai dan jika penggambaran akan bermula malam, janganlah mereka dipanggil bertugas pada waktu pagi.
"Sekarang ini pihak Seniman sedang dalam proses mengangkat perkara ini untuk dikaji di peringkat Finas supaya nasib penggiat seni terus dibela sekali gus memperbaiki sistem waktu bekerja agar penggiat seni tidak 'dikerah' bekerja sehingga lewat malam atau pagi," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
| |
|