Gambar hiasan.
Ahad lalu, pihak polis berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua.
Harian Metro melaporkan, kesemua suspek ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan sekitar Segamat, Johor.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada 24 September lalu.
Katanya, polis menerima laporan dibuat seorang wanita mendakwa anak perempuannya yang berusia 14 tahun dirogol oleh lapan lelaki yang dikenali.
Gambar hiasan.
"Siasatan awal mendapati, pada 17 September lalu di antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 5 pagi, mangsa dibawa rakan perempuan pergi ke sebuah rumah di sekitar Kemelah sebelum dirogol lapan lelaki.
"Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berjaya membuat tangkapan pada 25 September di sekitar Segamat dan Felda Kemelah terhadap lapan suspek termasuk wanita itu," katanya.
Ahmad Zamry turut berkata, mangsa dibawa menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Daerah Segamat.
"Suspek sebahagiannya pelajar berusia 14 hingga 26 tahun direman tujuh hari bermula 26 September sehingga 2 Oktober bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 37B Kanun Keseksaan," katanya. - CARI
|