Sumber Harian Metro
Polis menahan seorang lelaki warga asing yang memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin Lalu.
Harian Metro melaporkan, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tangkapan itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun yang juga penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).
"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui beberapa bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer riba dan telefon bimbit milik suspek," katanya dalam satu kenyataan.
 Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin. SUMBER BH Online
Noorsiah berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa.
"Suspek dipercayai melakukan ugutan bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak luar negara.
"Kejayaan penahanan suspek itu adalah hasil kerjasama erat antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat," katanya.
Katanya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 5 AKta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 10 akta sama di Mahkamah Majistret. - CARI
|