KEPALA BATAS - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan semua kerajaan negeri untuk memperkukuhkan garis panduan berhubung aktiviti inap desa di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usaha itu adalah untuk mengembangkan industri inap desa secara lebih positif tanpa berlaku pelanggaran akta sedia ada terutamanya melibatkan bangunan berstrata.
Menurutnya, kementerian itu akan meneliti dan akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mengeluarkan garis panduan yang bersesuaian dengan aktiviti inap desa.
"Garis panduan yang akan dibincangkan lebih kepada inap desa melibatkan bangunan berstrata yang mana, bangunan ini terikat dengan Akta 757 Pengurusan Strata dan Akta 318 Pemilikan Strata. Sekiranya aktiviti inap desa dijalankan di bangunan-bangunan ini, maka ia berlaku pelanggaran akta.
"Ia sesuatu yang tidak wajar untuk membenarkan aktiviti ini dijalankan kerana akan mengganggu hak orang lain. Oleh itu, saya fikir ada kewajaran untuk KPKT bekerjasama dengan MOTAC dan semua kerajaan negeri untuk mengeluarkan garis panduan ini.
"Ini kerana, dalam kita mahu mengembangkan industri inap desa secara lebih positif, kita tidak mahu berlaku pelanggaran akta yang sedia ada," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Visit My Kampung Homestay Kota Aur@Perda di Penaga di sini pada Sabtu.
Reezal Merican menambah, walaupun aktiviti inap desa di bawah MOTAC, KPKT tetap bertanggungjawab sekiranya ia melibatkan kepada isu bangunan.
"Aktiviti ini di bawah akta industri pelancongan tetapi apabila membabitkan soal bangunan, kadangkala KPKT yang akan mengeluarkan garis panduan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, KPKT akan menggunakan platform sedia ada antaranya Mesyuarat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri-Negeri (MEXCOPT) dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) untuk mengemukakan dan menyeragamkan garis panduan berhubung aktiviti inap desa di setiap negeri.
"Saya yakin perkara ini akan dibawa ke kementerian untuk dibincangkan terutamanya dengan jabatan kerajaan tempatan bagi melihat apa yang diperlukan dalam garis panduan, sama ada sudah ada garis panduan atau sebaliknya. Jika ada, mungkin kita akan memperkukuhkan dan memantapkan lagi.
"Dua platform ini juga akan digunakan untuk menyeragamkan dan mengemukakan panduan serta garis panduan agar ia dapat membantu industri inap desa secara lebih positif tanpa membawa kepada sebarang pelanggaran, pengambilan hak orang lain atau gangguan seperti yang dibangkitkan sebelum ini," katanya.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo untuk membincangkan perkara tersebut bagi Pulau Pinang.
Sebelum ini, Jagdeep mengumumkan kerajaan negeri telah bersetuju untuk tidak membenarkan daftar masuk di rumah atas tanah serta bangunan tinggi untuk inap desa, susulan banyak aduan diterima daripada kumpulan penduduk di pangsapuri, kondominium dan kawasan kediaman.
Bagaimanapun, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin menjelaskan, larangan itu hanya dikenakan untuk bangunan tinggi dengan status kediaman yang melarang mereka menyewa secara jangka masa pendek.
Katanya lagi, larangan itu tidak akan dikenakan terhadap inap desa berciri kampung yang dibenarkan oleh MOTAC sebagai produk pelancongan.