View: 954|Reply: 0
|
Menolak dakwaan Al- Jamaah bukan majoriti
[Copy link]
|
|
Menolak dakwaan Al- Jamaah bukan majoriti
MASYARAKAT Islam perlu berpegang dengan pandangan alim ulama melalui dalil yang muktabar.
Asas menentukan kebenaran dan kebatilan dalam Islam adalah suatu perkara yang jelas dan bukannya samar. Antara dalilnya, Rasulullah SAW bersabda: "Perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun, antara kedua-duanya ada perkara syubhah (samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka, sesiapa yang menjauhi diri daripada perkara yang syubhah itu terpeliharalah agama dan kehormatannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Meskipun perkara yang syubhah tidak diketahui ramai manusia, hukumnya dapat diketahui ulama melalui dalil yang muktabar seperti ijmak dan qiyas. Justeru, tidak boleh tidak masyarakat perlu berpegang dengan pandangan alim ulama. Kesepakatan majoriti mereka terhadap kebenaran yang jelas adalah sebahagian daripada 'kemaksuman' umat ini. Justeru itulah Nabi SAW akan berbangga dengan ramainya umat baginda di akhirat kelak. Malah, dikhabarkan bahawa umat Rasulullah SAW akan mencakupi separuh daripada penghuni syurga. Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam riwayat lain pula dinyatakan, umat baginda SAW adalah dua pertiga daripada penghuni syurga. Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan
Kelebihan ini tentunya di atas pelbagai faktor, terutama kepercayaan dan kepatuhan mereka terhadap kumpulan majoriti ulama yang sentiasa berada di atas kebenaran. Nabi SAW bersabda: "Sentiasa ada satu kumpulan daripada umatku yang zahir di atas kebenaran, tidak memudaratkan mereka orang yang meninggalkan atau menyalahi mereka sehinggalah datang perintah Allah (hari kiamat), sedangkan mereka tetap berkeadaan demikian." Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Kumpulan yang berada di atas kebenaran ini pastinya termasuk ulama yang sentiasa menjaga kesucian ilmu dan ajaran Islam. Kata Imam al-Bukhari: "Mereka ialah ahli ilmu." Menurut pandangan Imam an-Nawawi pula dalam kitab Syarah Sahih Muslim: "Kemungkinan kumpulan ini wujud secara berasingan di antara pelbagai golongan orang Mukmin. Antara mereka ada golongan pejuang yang berani, golongan fuqaha, golongan muhaddithin, golongan ahli zuhud, golongan orang yang menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada kemungkaran serta pelbagai lagi golongan orang melakukan kebaikan lain. Tidak semestinya mereka itu duduk berhimpun bersama-sama, bahkan boleh jadi kedudukan mereka itu berpisah-pisah di pelbagai pelosok bumi." Kumpulan ini bukan akan muncul, tetapi telah pun sedia dan sentiasa ada sejak dahulu. Bahkan, dalam setiap satu kurun akan ada tokoh yang melakukan tajdid (pemurnian) terhadap agama Islam.
Tidak semestinya tokoh tajdid ini hanya satu dua orang, bahkan boleh jadi bilangan mereka itu ramai berdasarkan kemahiran masing-masing dalam pelbagai bidang berasingan seperti yang dijelaskan. Tokoh ini juga biasanya mendapat pengiktirafan daripada majoriti ulama. Justeru itulah tajdid mereka mendapat sambutan yang luas dan diterima dengan baik oleh majoriti umat Islam.
Ini kerana ia mewarisi disiplin ilmu salafussoleh (sahabat dan tabiin) yang disusun kemudian secara lebih sistematik, lengkap dengan usul dan kaedah teratur menggabungkan aspek naqli serta aqli secara seimbang.
Aspek ini dapat dilihat jelas daripada sudut ilmu akidah salafussoleh yang disusun atur dengan mantap oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Ilmu fiqah salafussoleh yang ditekuni dengan baik oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam as-Syafii dan Imam Ahmad serta dikembangkan oleh ashab (pengikut) masing-masing. Ilmu ihsan salafussoleh yang diperkukuhkan oleh Imam al-Muhasibi, Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali dan tokoh kerohanian Islam lain. Maka, orang yang mengikut imam ini bererti telah meyakini usul dan pegangan diperakui oleh majoriti ulama Islam. Ciri majoriti ini amat sinonim dengan istilah 'al-jamaah' yang disebut dalam beberapa hadis, antaranya mengenai perpecahan umat Islam kepada 73 golongan, iaitu sabda Nabi SAW: "Yahudi berpecah kepada 71 golongan dan Nasrani berpecah kepada 72 golongan. Sedangkan umatku akan berpecah kepada 73 golongan." Riwayat Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis sahih
Dalam riwayat lain ditambah: "Tujuh puluh dua dalam neraka dan satu sahaja dalam syurga, iaitu al-jamaah." Riwayat Ahmad, ad-Darimi dan Abu Dawud dengan sanad hasan
Ringkasnya, 'al-jamaah' atau kumpulan yang berada di atas kebenaran ini pasti sentiasa ada di sepanjang zaman. Malah, realiti sejarah membuktikan keberadaan mereka secara konsisten.
Mereka itulah majoriti ulama Islam yang berpegang dengan fahaman Ahli Sunah Waljamaah. Justeru, dakwaan 'al-jamaah mungkin bukan majoriti pada zaman berikutnya' hanyalah andaian yang tidak berpijak kepada realiti dan kenyataan sebenar.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... maah-bukan-majoriti
|
|
|
|
|
|
|
| |
|