View: 986|Reply: 1
|
TFC kenduri gol belasah Melaka United
[Copy link]
|
|
TFC kenduri gol belasah Melaka United
Pemain Terengganu FC Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) diasak pemain Melaka United FC Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Finalis Piala FA, Terengganu FC (TFC) kenduri gol membelasah Melaka United FC (MUFC), 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.
Lebih manis penyerang sensasi skuad itu, Kipre Tchetche mencipta hatrik pertamanya musim ini dalam tempoh 13 minit pada babak kedua.
Bagaimanapun kemenangan itu tidak mengubah kedudukan skuad kendalian Nafuzi Zain itu dalam carta liga dengan kekal berada di tangga keempat dengan mengumpul 29 mata hasil 17 perlawanan.
Pada perlawanan itu, skuad Penyu yang kini menunggu detik aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu depan, bermula garang dengan percubaan pertama menerusi pemain kelahiran Ivory Coast, Tchetche pada minit kedua yang berjaya dihalang penjaga gol, See Tian Keat.
Tiga minit berselang, giliran skuad Hang Tuah mendapat peluang terbaik untuk meledak gol sulung perlawanan, namun peluang dimiliki penyerang, Ifedayo Olusegun gagal dimanfaatkan dengan sebaik mungkin sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah yang dikawal Rahadiazli Rahalim.
Pemain Terengganu FC, Kpah Sean Sherman (kanan) meraikan jaringan bersama pasukannya pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
TFC yang mendominasi permainan mendapat peluang kedua menerusi rembatan padu Habib Haroon pada minit kesembilan, namun sedikit sipi di sebelah kanan pintu gol pelawat.
Berpunca hantaran silang Mohd Faisal Halim di sebelah kiri pintu gol skuad Hang Tuah, Kpah Sherman yang tidak dikawal meletakkan pasukannya di depan menerusi tandukan mengelirukan pada minit ke-16 untuk pasukannya mendahului 1-0.
Jaringan itu menyuntik semangat pasukannya untuk memburu jaringan kedua, namun percubaan Tchetche pada minit ke-18 dan 37 serta rembatan padu Manuel Ott seminit kemudian gagal menerjah jaring gol.
Pemain TFC, Kpah Sean Sherman (kiri) diasak pemain Melaka United FC, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Foto BERNAMA
Seminit selepas babak kedua bersambung, TFC terpaksa menelan kepahitan apabila Rahadiazli terpaksa dibawa ke hospital selepas bertembung dengan pemain Melaka United, Harith Naem Jaineh dan digantikan dengan penjaga gol simpanan, Suhaimi Husin.
Pada minit ke-62, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim yang baharu masuk menggantikan Mohd Faiz Nasir berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol kedua untuk pasukannya mendahului 2-0.
Selepas jaringan itu, pemain TFC bagaikan diirasuk apabila berjaya meledak gol ketiga menerusi Tchetche pada minit ke-67 selepas dia bijak melepasi dua pemain pertahanan pelawat.
Skuad pelawat kendalian Asri Ninggal yang hanya menyenaraikan seorang tonggak import, terus dihukum sekali lagi menerusi penyudah tajam, Tchetche yang bijak menolak hantaran silang Mohd Faisal pada minit ke-75 untuk mendahului 4-0.
Enam minit berselang, pemain yang digelar 'Drogba Ganu' itu menambah derita skuad Hang Tuah apabila meledak gol kelima dan juga hatriknya menerusi rembatan kencang untuk pasukannya melakar kemenangan 5-0.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|