PADANG BESAR: Kewujudan sebuah tapak khemah dalam hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Bukit Keteri, di sini membawa polis kepada pembongkaran sebuah 'port' pembungkusan dan penjualan air ketum yang sudah wujud sejak dua bulan lalu.
Dalam serbuan polis semalam, seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan dan daun serta air ketum yang dipercayai baru sahaja dimasak termasuk ubat batuk bernilai RM3,270 dirampas.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 12.30 tengah hari di Kampung Guar, Bukit Keteri selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan berkenaan di kampung itu.
"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai pekerja yang diberi upah untuk membungkus dan menjual cecair ketum itu dan semasa serbuan dilakukan, suspek sedang membungkus air ketum di dalam khemah itu.
"Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap beberapa meter dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, hasil serbuan di tempat itu, pihaknya merampas lima botol Dynadryl Syrup iaitu sejenis ubat batuk yang dianggarkan mempunyai 500 mililiter (ml) isipadu, sebuah periuk aluminium berisi cecair hijau dipercayai mengandungi 120 liter daun ketum dan tiga bekas plastik biru yang di dalamnya mengandungi 135 bungkusan cecair dipercayai air ketum dengan anggaran sebanyak 135 liter.
"Selain itu kita turut merampas satu bekas polisterin yang mengandungi 37 bungkusan cecair dipercayai air ketum dengan anggaran 37 liter, dua guni putih yang berisi daun ketum sebanyak 30 kilogram (kg), sebuah tong gas, sebuah dapur masak, sebuah penapis aluminium dan satu pencedok air.