BUTTERWORTH: Zakat Pulau Pinang (ZPP) sedang mengenalpasti
pasangan suami isteri yang menjadikan kawasan jejambat di Jalan Bagan Dalam, di sini sebagai tempat berteduh, dalam usaha menghulurkan bantuan sewajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali, berkata pihaknya sudah turun ke lapangan bagi menjejaki pasangan berkenaan namun kelibat mereka tidak kelihatan.
Beliau berkata, ZPP tidak mengabaikan mana-mana golongan termasuk gelandangan yang memerlukan bantuan daripada agensi itu.
"Kita memang sedaya upaya membantu golongan kurang berkemampuan termasuk gelandangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Dalam kes ini (pasangan suami isteri tidur bawah jejambat), pasukan kita sudah turun memantau dengan bantuan pihak kariah serta wakil pemimpin setempat namun mereka tidak ada.
"Melalui siasatan, pasangan itu sebenarnya tidak tinggal di situ sahaja tetapi mereka berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat lain, yang ia menyukarkan pihak kita," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Jelasnya, ZPP sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan untuk berkunjung ke mana-mana pejabat agensi itu.
"Pasangan ini masih muda dan rasa tiada sebab mereka tidak boleh datang jika mereka memerlukan bantuan.
"Kita sudah cuba mencari mereka tetapi gagal yang mana kita berharap pasangan ini dapat berkunjung ke mana-mana pejabat kita supaya kita dapat menghulurkan bantuan sewajarnya," katanya.
Terdahulu pasangan suami isteri dikenali Siti dan Mohd masing-masing berusia lingkungan 20-an ditemui ketika penyerahan bantuan makanan dibawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'The Ascott Merdeka'.
Menurut suami isteri berkenaan, mereka terpaksa menjadikan kawasan bawah jejambat sebagai tempat berteduh selepas tidak lagi mampu menyewa berikutan kehilangan pekerjaan sejak beberapa bulan lalu.