|
Pereka fesyen yang juga pernah bergelar penyanyi, Ezuwan Ismail nyaris terpaksa menanggung malu apabila salah seorang model yang menggayakan rekaan terbaharunya hampir terlondeh.
Ezuwan berkata, mujur model berkenaan memakai baju di dalam gaun berkenaan dan tidak dapat membayangkan insiden itu akan menjadi tular dan mendapat kecaman netizen.
Foto: mStar Online
"Mujurlah model memakai baju, kalau semata-mata 'top' skirt sahaja... tak mampu saya bayangkan apa yang akan terjadi.
"Model yang memperagakan pakaian itu juga bukan Melayu. Kalau model Melayu, saya tak dapat bayangkan jika ia tular dan menjadi sensasi serta mendapat kecaman netizen," katanya.
Ezuwan tampil dengan koleksi inspirasi Cotton Candy paada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022).
Dalam pada itu, Ezuwan berkata, konsep diketengahkan adalah untuk cuba menyelami warna pemanis mulut yang penuh dengan kemanisan.
Menerusi KLFW2022, Ezuwan tampil dengan 24 koleksi untuk wanita dan selebihnya memfokuskan kepada fesyen buat kaum lelaki.
"Warna pastel seperti kuning lembut, biru 'lilac', biru lembut, merah jambu, hijau 'tiffany' dan peach antara asas warna pastel digunakan.
"Saya menggunakan koleksi fabrik seperti 'twill', kain kapas, lycra dan jejaring. Malah elemen berbungkus satu badan juga diserlahkan bagi menyuntik kelainan rekaan kali ini.
"Saya percaya gula-gula kapas ini memberi nostalgia tersendiri kepada kita sedari dulu. Jadi ia lebih kepada mengimbas semula kemanisan yang kita pernah dan tengah rasai. Apatah lagi selepas diuji di era pandemik Covid-19," katanya.
Ezuwan yang melakar nama dalam bidang fesyen termasuk menjadi kegemaran serta pilihan artis popular seperti antaranya seperti Rozita Che Wan, Allahyarham Adibah Noor, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose dan Aprena Manrose.
Kata Ezuwan lagi, koleksi diketengahkan kali ini juga cuba menyerlahkan sisi muda si pemakai.
"Tak kira, berapa usia kita sekalipun harus ada sisi muda. Kita pernah muda dan ada yang sedang menikmati kemanisan hidup remaja itu.
"Jangan 'tua' kan diri kita. Cuma dalam bergaya itu kena pandai sesuaikan diri dan keadaan. Jangan semberono," ujarnya.
Koleksi terbaharu itu, dijual pada harga dari RM2,800 hingga RM6,000. -CARI
Sumber: mStar Online |
|