KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran pemandu dan pengguna jalan raya terhadap penggunaan lorong kecemasan di negara ini masih lagi rendah.
Terbaru, perkongsian sebuah video di grup DashCam Owners Malaysia oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Mo Syazmi telah menarik perhatian ramai.
Video berdurasi 2 minit 51 saat itu memaparkan kejadian sebuah lori yang memotong di lorong kecemasan di sebuah jalan raya dan kemudian lori tersebut tersangkut pada kabel tiang telefon.
Kelihatan lori tersebut cuba undur dan kemudian bergerak ke hadapan beberapa kali namun tidak berjaya melepaskan kebel yang tersangkut pada badan lori itu.
Selepas beberapa kali percubaan cuba "melepaskan diri", akhirnya tiang telefon rebah kebumi dan telah menghalang separuh jalan raya.
Dalam pada itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu lori kerana penting diri dan telah menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Setakat artikel ini ditulis, lokasi kejadian masih belum diketahui. - CARI
|