Kangar: Sebaik melangkah ke tingkat tiga bangunan Blok D Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indera, di sini, pasti timbul persoalan mengenai papan tanda 'Seri Indera Mall' yang kelihatan seperti 'pusat membeli-belah' di dalam sekolah itu.
Sebenarnya, ia adalah satu konsep yang cuba diketengahkan oleh pentadbiran sekolah berkenaan untuk mewujudkan suasana selesa, santai dan kondusif kepada murid terutama bagi menyahut era pembelajaran abad ke-21.
Malah, setiap bilik kelas yang merangkumi makmal komputer, bilik simpanan buku teks, bilik muzik, pusat sumber dan pelbagai lagi bilik dan sebahagian di tingkat empat bangunan itu ditransformasikan menjadi 12 ruangan atau 'premis' seperti di dalam pusat membeli-belah.
Ini kerana bilik kelas itu dijenamakan semula seperti Sindra Book Spa, Sindra Lounge, Sindra Lollipop Shop, Sindra Lens, Sindra Think Space, Sindra D'Chamber, Sindra Flip, Sindra Golden Cinema, Sindra Nature Park, Sindra La Secret, Sindra Cyber Space dan Sindra Da Capo.
Setiap 'premis' berkenaan mempunyai fungsi dalam pembelajaran serta pembangunan intelek dan kemahiran murid di sekolah itu.
Guru Besar SK Seri Indera, Nor Sharmila Shaari berkata, pihaknya mewujudkan Seri Indera Mall untuk menonjolkan ciri kebitaraan atau keunikan diri murid tanpa hanya bertumpu kepada akademik tetapi juga bidang kemahiran lain.
Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indera di dalam Sindra Nature Park di Seri Indra Mall sekolah itu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
"Seri Indera Mall ini dibangunkan sekitar tahun lalu di mana kita mentransformasikan pusat sumber sekolah serta beberapa bilik kelas menjadi satu ruangan atau 'premis' yang sama seperti terdapat dalam pusat beli-belah.
"Kita menggunakan nama singkatan Sindra yang diambil dari nama sekolah ini Seri Indera dan setiap 'premis' ini mempunyai fungsi tersendiri sekali gus menyediakan murid untuk meneroka kepakaran dan minat mereka.
"Ini kerana kita tahu pembelajaran pada masa kini tidak sama seperti dahulu. Walaupun ada murid yang tidak pandai dalam akademik, namun mereka mempunyai kemahiran seperti melukis, mengacara, mengambil foto dan video, menyanyi dan bermain alat muzik," katanya yang menerajui sekolah itu sejak 16 Disember 2020 lalu.
Beliau berkata, sebagai contoh, jika dahulu pusat sumber sekolah atau perpustakaan dilihat sebagai satu tempat yang membosankan, namun kini diubah konsep dan pemikiran.
Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indera di dalam Sindra Lens di Seri Indra Mall sekolah itu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Menurutnya, pihaknya kemudian menjenamakan pusat sumber sebagai Sindra Book Spa yang mempunyai himpunan buku dan aktiviti interaktif.
Katanya, idea untuk menghasilkan Seri Indera Mall ini bermula daripada saranan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman yang mahu satu perubahan atau 'redesign' dalam suasana pembelajaran murid di alaf ke-21.