![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/talen1_1660550715.jpg)
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Pulau Pinang, Chong Eng (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Thomas Mathew (dua dari kanan) ketika melawat reruai pameran pada Sidang Kemuncak Diversiti Kebangsaan (NDS) dan Konvensyen Kerjaya Wanita (WCC) di Georgetown. - Foto ihsan TalentCorp
GEORGETOWN: Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) akan terus giat mempertingkatkan budaya kepelbagaian, ekuiti serta keterangkuman dalam usaha memacu pemerkasaan wanita di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thomas Mathew, berkata ia amat penting bagi menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, sekali gus menyokong dan mengupayakan wanita agar dapat menyumbang potensi sama rata dengan lelaki dalam dunia kerjaya.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan mandat TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menarik, memupuk dan mengekalkan bakat terbaik tanpa mengira jantina bagi memenuhi keperluan industri.
"TalentCorp juga berperanan untuk mengemudi agenda nasional untuk pemerkasaan ekonomi kumpulan bakat yang kurang diwakili dan kurang dimanfaatkan terutamanya golongan wanita.
"Ini dicapai melalui beberapa inisiatif utama termasuk program latihan kembali berkerjaya, amalan keseimbangan kehidupan bekerja serta penubuhan Majlis Pakar Agenda Wanita, selain program 'YES! Women' serta 'YES! Rock The School', " katanya.
Mathew berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Diversiti Kebangsaan (NDS) 2022 dan Konvensyen Kerjaya Wanita (WCC) 2022 yang diadakan di sini, semalam.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/talen2_1660550719.jpg)
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Pulau Pinang, Chong Eng (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Thomas Mathew (empat dari kiri) pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Diversiti Kebangsaan (NDS) 2022 dan Konvensyen Kerjaya Wanita (WCC) 2022 di Georgetown. - Foto ihsan Talentcorp
Beliau memberi jaminan, TalentCorp komited untuk memupuk penglibatan wanita dalam tenaga kerja Malaysia dan memberi perhatian lebih besar terhadap cabaran yang masih dihadapi golongan itu di tempat kerja sejajar pelancaran program NDS dan WCC.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan pasaran buruh Malaysia bebas daripada amalan diskriminasi dan peminggiran selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Kami juga berharap syarikat-syarikat di Malaysia akan terus meningkatkan usaha dan komitmen untuk membangunkan tenaga kerja dan persekitaran tempat kerja yang mengutamakan kepelbagaian, inklusiviti serta kesaksamaan," katanya.