|

PPS dibuka di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi menempatkan 46 mangsa ribut Flat Ros Merah, petang tadi. FOTO ihsan APM
Johor Bahru: Seramai 46 mangsa ribut terdiri daripada 11 keluarga yang tinggal di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), petang tadi.
PPS di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya itu dibuka jam 4.30 petang bagi menempatkan penghuni flat berkenaan yang mana kediaman mereka terjejas akibat ribut sehingga bumbung flat terbabit terbang ditiup angin.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan berkata, kejadian hujan lebat dan ribut itu hanya membabitkan sebuah daerah iaitu Johor Bahru.
"PPS ini mula beroperasi jam 5.30 petang tadi dengan menempatkan 46 mangsa ribut terdiri daripada penghuni Flat Ros Merah.
"Setakat ini, mangsa yang dipindahkan ke PPS ini terdiri daripada tujuh bayi lelaki, enam bayi perempuan, tiga kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, 13 dewasa lelaki dan 12 dewasa wanita," katanya.
Katanya, PPS itu akan dipantau oleh dua pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama tujuh anggota selain 20 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Kampung, Ibrahim Ismail bertindak sebagai pengurus PPS selain tiga anggota polis dan enam kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta enam ahli Crisis Relief Squad Of MCA (CRSM) turut sama membantu mangsa di PPS berkenaan.
Terdahulu, berlaku hujan lebat dan ribut kuat di daerah ini sejak 1.30 tengah hari tadi sebelum beberapa kawasan dilaporkan terjejas termasuk pokok tumbang dan bumbung ditiup angin.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... merah-pindah-ke-pps |
|