|
|
Keith Foo, 39, percaya kunci utama dia dan bekas isteri, Kim Raymond, 37, kekal berkawan baik selepas bercerai adalah kerana masing-masing membuang sifat ego serta dahulukan anak mereka, Skylar, 5.
Keith tidak menafikan memang terbit rasa risau mengenai hala tuju hubungan mereka selepas berpisah, namun lega kerana tiada langsung isu antara dia dan Kim.
 Foto: IG
" ada awalnya, kami memang tertanya-tanya apa akan jadi dengan kami. Tapi pada pengakhirannya semua terletak pada bagaimana menolak ego. Kalau sudah berusia, ego itu kena buang dan kuburkan. Kalau boleh jadi kawan, kenapa tolak? Ini bukan sebab kebaikan sebagai individu, tapi untuk semua pihak," katanya.
Keith berkata, dia juga sentiasa lapangkan diri untuk membantu bekas isterinya terutama perkara membabitkan anak mereka.
"Kami berkawan baik dan mahu anak kami sentiasa bersama. Apa pun terjadi, selalunya berpisah akan bergaduh, tapi tak semestinya semua kena begitu.
"Apa yang berlaku secara individu, itu persefahaman antara kami. Tapi kami sama-sama mahu yang terbaik untuk anak kami dan tak boleh pentingkan diri sendiri.
"Walaupun dia ada teman lelaki atau hal peribadi lain, saya okey. Kalau dia ada hal dan kebetulan saya tak buat apa-apa, dia suruh saya datang rumah tengokkan anak kami," katanya.
Selain itu, Keith tidak terasa apa-apa jurang besar apabila menyentuh mengenai hak penjagaan Skylar.
"Anak bersilih ganti tinggal dengan saya atau mak dia. Tiada langsung isu mengenai hak penjagaan sebab kami memang nak penuhi apa saja yang anak mahukan.
"Sekarang dia ada teman lelaki pun kawan saya juga. Saya sentiasa tawarkan diri juga kalau ada hal yang boleh saya bantu," katanya.
Ditanya mengenai dirinya pula, Keith berkata, dia tidak mencari cinta buat masa sekarang.
"Saya belum bersedia untuk siapa-siapa," katanya.
Keith ditemui pada pelancaran drama berjudul Demi, baru-baru ini.
Turut membintangi drama itu ialah Puteri Aishah, Ashraf Muslim, Riz Amin dan ramai lagi.
Keith mendirikan rumah tangga dengan Kim pada November 2015 dan mereka dikurniakan anak pada 30 Mei 2017.
Namun, mereka memutuskan bercerai secara baik pada hujung 2019. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|