Sumber IG
Penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, 57, meluahkan rasa hampa dan kecewa kerana sehingga kini masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo yang dimenanginya ketika menyertai program realiti nyanyian, Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017.
Aishah yang sudah menunggu lebih lima tahun berkata, isu tuntutan hadiah ini masih berpanjangan hingga perlu diselesaikan secara perundangan.
"Detik yang penuh bermakna, mimpi jadi kenyataan. Hari ini dan beberapa hari akan datang sepatutnya saya boleh berehat sekejap tetapi malangnya mulai saya terpaksa ke mahkamah untuk tuntutan hadiah tanah GV4.
"Kalau dah berjanji untuk beri hadiah, tunaikanlah saja. Kalau tidak elok, jangan mimpi nak jadi penaja," katanya.
Luahan itu dikongsikan oleh penyanyi berkenaan menerusi IG bersama gambarnya ketika menjayakan konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu lalu.
Aishah menjelaskan, dia memilih untuk menyelesaikan isu berkenana di mahkamah kerana sudah lama menunggu hadiah yang dijanjikan dan enggan anak seni dipermainkan.
"Beberapa tahun dah tunggu tetapi hingga sampai kena naik mahkamah juga. Doakan yang terbaik.
"Saya hanya menuntut hak saya yang telah dijanjikan. Jangan buat begini kepada anak seni," coretnya.
Terdahulu, sekitar 2018, Aishah pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana masih tidak menerima hadiah sebidang tanag yang dimenanginya selaku juara program berkenaan.
Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucer beli-belah bernilai RM6,000 serta trofi. - CARI
|