Sejak beberapa selebriti mengeluarkan jenama produk inai mereka sendiri, pelbagai isu timbul mula dibahaskan oleh netizen.
Antara pertikaian adalah perkara yang mengatakan hukumnya haram bagi seorang wanita yang belum berkahwin memakai inai dengan tujuan perhiasan.
Menerusi laporan Gempak yang dipetik daripada rakaman Sinar FM, Imam Muda Asyraf memaklumkan adalah harus bagi seorang wanita bujang untuk memakai inai pada jari mereka.
Gambar hiasan
"Memang viral dekat TikTok pasal inai dan tidak terkecuali ada ahli ulama yang berbincang mengenai perkara ini. Sebab isu ini memang ada perbahasan mengenai wanita memakai inai.
"Lelaki pakai inai memang tak boleh walaupun ada fatwa yang bagi dan sebagainya.
"Inai bagi wanita selepas bernikah memang tidak menjadi kesalahan. Ini bukan isu inai rambut tetapi inai di jari. Lepas daripada pernikahan, tiada masalah untuk wanita pakai inai.
"Cuma bagi wanita yang belum bernikah, sebahagian daripada ulama tidak membenarkan, sebahagian ulama lagi membenarkan. Yang membenarkan pula tak bagi kita pamerkan.
"Tapi, saya lebih cenderung dengan fatwa yang mengharuskan wanita walaupun bujang untuk memakai inai dengan kadar yang tidak berlebihan. Kalau dia nak pakai inai kat jari, hukumnya harus," katanya.
Oleh yang demikian, terpulanglah pada diri masing-masing untuk mengambil pandangan yang mana satu untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. - CARI
|