CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 325|Reply: 0

[Kedah] Tiba masa pasang sistem amaran di Kampung Iboi

[Copy link]
Post time 4-8-2022 10:40 AM | Show all posts |Read mode

JENGKAUT melakukan kerja-kerja mendalamkan Lata Celak selepas kawasan itu dilanda banjir kali kedua di Sungai Kupang, Kampung Iboi, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN


BALING: Banjir kali kedua dalam tempoh sebulan melanda Kampung Iboi, di sini walaupun tidak seteruk tragedi awal bulan lalu yang meragut tiga nyawa penduduk, tetap meninggalkan impak mendalam terhadap mereka terutama yang tinggal di tebing Sungai Kupang.

Malah, tidur hampir 1,000 penduduk beberapa kampung di situ kini ibarat tidak lagi lena kerana bimbang kemungkinan bencana buruk terus berulang terutama pada waktu mereka sedang nyenyak tidur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyegerakan pemasangan sistem amaran awal bencana di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kita tak dapat jangka bencana, jadi memang amat perlu dipasang sistem berkenaan memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan kami yang tinggal di sini terdedah kepada risiko tragedi kepala air berulang.

“Pemasangan sistem itu sekurang-kurangnya dapat memberi peringatan kepada kami untuk segera menyelamatkan diri sekiranya banjir atau kepala air melanda lagi kerana nyawa kami boleh dikatakan terancam,” katanya di sini, semalam.

Khamis lalu, hujan lebat hampir tiga jam di Kampung Iboi menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penduduk yang masih trauma dengan tragedi pada 4 Julai lalu sehingga ada yang mengambil langkah awal berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Air Sungai Kupang dilaporkan mengalir deras selepas dipercayai melimpah dari Gunung Inas sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan jambatan Bailey yang dipasang sementara di Kampung Iboi ditutup demi keselamatan.

Sementara itu, Abu Hasan berkata, hanya ketika cuaca terang-benderang sahaja mereka dapat rasa tenang seketika sebelum menjadi gundah gulana semula apabila melihat langit bertukar mendung menandakan akan hujan.

“Keadaan sekarang ini kira baiklah sebab tiada hujan, tapi kami tetap perlu berwaspada bila tengok ke arah Gunung Inas yang cerah tiba-tiba menjadi gelap. Memori pada petang 4 Julai lalu masih berlegar dalam minda. Bimbang kerana tidak tahu nak jadi apa pula selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Padang Empang, Ramlah Abdullah, 58, berasakan rumahnya tidak lagi selamat untuk didiami setelah bencana terbabit berulang tidak sampai sebulan.

“Bila dengar bunyi guruh di langit, hati dah berdebar kerana terlalu takut. Rumah kami tidak selamat lagi untuk didiami sejak kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi pada awal bulan Julai lalu.

“Jika dahulu hujan tiga jam sekalipun, air hanya masuk halaman rumah sahaja tetapi sekarang kami tidak boleh menjangkakan perkara itu kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

Che Liah Ramli, 63, yang tinggal di Kampung Masjid Iboi turut merasakan perkara sama apatah lagi pada kejadian pertama itu dia dihanyutkan air deras sebelum terpaksa berpaut di pokok pisang sehingga keadaan banjir reda.

“Kalau diikutkan memang takut tinggal di sini lagi, tetapi kami tiada pilihan kerana di sini sahaja tempat tinggal yang ada. Jadi elok sangat kalau kerajaan nak pasang apa-apa sistem sekali pun yang boleh membantu mengelak kejadian menjadi lebih teruk,” ujarnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... an-di-kampung-iboi/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

5-5-2024 02:01 AM GMT+8 , Processed in 0.541206 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list