View: 515|Reply: 0
|
[Johor]
1 cedera, 11 ditahan kerana bergaduh di hadapan kilang
[Copy link]
|
|

Tangkap layar pergaduhan warga asing di sebuah kilang dekat Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3, Senai. FOTO IHSAN PEMBACA
Kulai: Pekerja kilang cedera ditikam dalam satu kejadian gaduh menggunakan senjata berbahaya di hadapan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3, Senai di sini, 28 Julai lalu.
Kejadian pada 8.30 pagi itu, dilaporkan berlaku disebabkan perselisihan faham dalam kilang tempat mangsa bekerja.
Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya kemudiannya menerima laporan dibuat seorang lelaki warga tempatan yang menyatakan berlaku pergaduhan di hadapan kilang membuat peralatan elektronik itu.
"Pengadu melaporkan ketika dia tiba di lokasi kejadian, pergaduhan sudah berhenti dan suspek yang terbabit melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, antara jam 12.05 tengah malam hingga 2 pagi, 29 Julai lalu, polis dari Bahagian Risikan dan Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan serbuan dan menahan 11 lelaki warga asing terdiri daripada warga Pakistan dan Indonesia di sekitar kawasan Senai di sini.
"Semua suspek berusia antara 22 hingga 33 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kita turut membuat rampasan sebilah pisau di tempat kejadian," katanya.
Beng Yeow berkata, mangsa yang juga lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun dan mengalami kecederaan kerana ditikam di bahagian belakang badan itu dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 29 Julai lalu hingga esok.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada masa sama, Beng Yeow berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu lain yang turut terbabit dalam pergaduhan itu.
"Mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta untuk tampil memberikan maklumat di IPD Kulai atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Mohamad Nazirul Azri di talian 017-7078577," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-di-hadapan-kilang |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|