|

Anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah memeriksa tangki simpanan diesel di sebuah premis di Bahau. - Foto ihsan KPDNHEP Kuala Pilah.
KUALA PILAH: Satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan susulan rampasan kira-kira 20,000 liter diesel di sebuah lot tidak bernombor, di Kawasan Perindustrian Mahsan, Bahau, Negeri Sembilan pada 6 petang 18 Julai lalu.
Serbuan dilakukan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Pilah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tengah Cheras itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP, Ahmad Khuzairi Salamat, berkata menerusi serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori, sebuah kereta, sebuah skid tank dan 10 unit tangki petak.
"Lain-lain peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel seperti pam penyedut minyak diesel dan motor elektrik turut disita.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis dan suspek yang ditemui di lokasi serbuan tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan Barang Kawalan Berjadual," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Seorang suspek mengalami kecederaan ketika cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan dan sedang dirawat di Hospital Jempol.
"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM106,400 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan ditempat yang tidak dilesenkan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ter-diesel-dirampas |
|