View: 911|Reply: 0
|
Enam hak perlu ditunaikan
[Copy link]
|
|
Enam hak perlu ditunaikan
PERSAUDARAAN antara sesama Islam didasari
Umat Islam seluruhnya adalah bersaudara. Ikatan akidah yang menautkan semua orang Islam sebagai satu umat dengan masing-masing ada hak ke atas yang lain. Apabila menyebut perihal hak, maka ia juga berkait dengan tanggungjawab. Justeru, hubungan persaudaraan sesama umat Islam perlu dijalinkan dengan masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab yang saling lengkap-melengkapi.
Allah SWT menjelaskan perihal umat Islam menerusi firman-Nya bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Persaudaraan antara sesama Islam didasari oleh akidah dan berkait rapat dengan takwa. Hal ini turut dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang bermaksud: "Jangan kalian saling menghasut, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan jangan membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Kerana itu, tidak menzaliminya, tidak menghinanya, tidak membohonginya dan tidak merendahkannya. Takwa itu di sini (sambil baginda menunjuk dadanya tiga kali)." (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menjelaskan enam hak setiap Muslim yang selayaknya ditunaikan oleh saudara Muslimnya. Jika inginkan orang lain menunaikan tanggungjawab memenuhi hak terhadap diri, maka kita perlu terlebih dahulu memastikan bahawa diri tidak pernah mengabaikan hak Muslim lain.
Baginda menyebut dalam hadis mafhumnya: "Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam. Jika engkau bertemu dengannya maka ucapkanlah salam, jika dia mengundangmu maka penuhilah undangan tersebut, jika dia meminta nasihat daripadamu maka berilah nasihat, jika dia bersin lalu mengucapkan 'Alhamdulillah' maka doakanlah dia, jika dia sakit maka ziarahilah dia dan jika dia meninggal maka iringilah jenazahnya" (Hadis riwayat Muslim)
Jika diperhatikan kepada enam hak yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut, ternyata setiap Muslim mampu menggalas tanggungjawab menyempurnakan hak orang lain. Tidak kira seseorang itu kaya mahupun miskin, setiap orang mampu memenuhi hak Muslim lain kerana semua perkara tersebut adalah perkara yang mampu dibuat oleh setiap orang.
Cuma persoalannya adakah setiap Muslim melihat enam perkara tersebut sebagai perkara penting? Semua orang mengetahui tentang perkara tersebut namun mungkin disebabkan kefahaman yang tidak jelas, ramai yang mengabaikan pelaksanaannya.
Jadikanlah perbuatan memberi salam kepada sesama Muslim sebagai satu budaya dalam kehidupan. Hayatilah maksud di sebalik lafaz salam yang sarat dengan doa kesejahteraan. Kesejahteraan yang sememangnya diperlukan oleh setiap orang ialah yang dikaitkan dengan rahmat daripada Allah SWT. Satu perkara lagi, biasakanlah diri untuk memberi dan menjawab salam dengan lafaz yang betul kerana ia satu doa yang sangat tinggi nilainya bagi menyemarakkan rasa kasih sayang sesama insan.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidaklah kalian akan masuk syurga hingga kalian beriman dan tidaklah kalian dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu, yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkan salam di antara kalian." (Hadis riwayat Muslim)
Tatkala mendapat undangan untuk memenuhi hajat saudara sesama Islam, ia memberi petunjuk diri sentiasa dalam ingatan orang yang menjemput. Ketika orang yang mengundang ke majlisnya sedang dikurniakan nikmat tertentu oleh Allah SWT, maka penuhilah undangan tersebut kerana ia bukti orang lain tidak melupakan diri kita tatkala dikurniakan kegembiraan. Bukankah dengan memenuhi hajat baik orang lain maka Allah SWT juga akan memenuhi hajat kita? Begitulah indahnya Islam mengatur tatacara menjalin ukhwah sesama insan.
Ada dalam kalangan manusia yang sangat memerlukan nasihat orang lain tatkala berdepan dengan masalah kehidupan. Kita mungkin tidak mampu untuk menghulurkan bantuan sehingga masalah yang dihadapi oleh orang lain selesai dengan mudah, namun nilai kebersamaan ketika berdepan dengan masalah cukup bermakna dalam diri orang yang berada dalam kesusahan.
Tambahan pula jika seseorang Muslim yang dilanda masalah tersebut meminta nasihat bagi dirinya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Maka sudah tentu orang yang diminta nasihat adalah insan yang dipercayai sehingga selayaknya memberi nasihat kepadanya. Rasa kebersamaan inilah yang sebenarnya akan mengeratkan lagi hubungan kemanusiaan sesama umat Islam.
Rasulullah SAW memberi jaminan kebaikan terhadap orang yang berusaha menghulurkan bantuan kepada orang yang berada dalam kesusahan dengan bersabda: "Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya
di dunia dan di akhirat." (Hadis riwayat Muslim)
Mengingati Allah SWT pada setiap masa adalah tanggungjawab Muslim. Ada orang hanya mengingati Allah SWT ketika ditimpa kesusahan sedangkan kewajipan mengingati Allah SWT kekal setiap masa. Oleh itu, tatkala seseorang Muslim memperoleh nikmat meskipun dengan bersin, lantas dia mengingati Allah SWT, maka selayaknya dia mendapat doa daripada orang lain.
Pertimbangan Islam cukup adil dalam memastikan setiap orang yang melakukan kebaikan pasti faedah daripada kebaikan tersebut akan kembali kepadanya semula. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…" (Surah al-Isra', ayat 7)
Rasulullah SAW sentiasa melazimi amalan menziarahi orang yang sakit. Baginda menunjukkan teladan yang cukup baik agar diikuti oleh umatnya. Sesungguhnya perbuatan menziarahi orang yang sakit akan memberi motivasi kepada dirinya untuk kekal positif menghadapi ujian daripada Allah SWT.
Perbuatan menziarahi orang yang sedang sakit menzahirkan keprihatinan terhadap orang lain yang tersemat dalam diri. Tidak semua orang sanggup meninggalkan tugasan hanya untuk menziarahi sahabat lain yang sedang berdepan dengan ujian kesihatan. Tatkala menziarahi orang sakit, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk dibacakan sebagai satu usaha memohon kesembuhan daripada Allah SWT. Antaranya ungkapan yang bermaksud: "Tidak apa-apa, insya-Allah penyakit kamu itu membersihkan dosa-dosamu." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hak Muslim yang terakhir sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW ialah mengiringi orang Muslim lain yang sudah meninggal dunia. Bukan sahaja hak ketika Muslim masih hidup, malah ketika sudah meninggal dunia pun ada hak yang perlu dipenuhi oleh saudara Muslim yang lain. Begitulah Islam mengatur perkara-perkara penting yang boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam. Perkara paling penting untuk dinyatakan ialah setiap penunaian hak akan mendatangkan hasanat (kebaikan) untuk yang berusaha memenuhi hak orang lain.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang mengikuti jenazah hingga disolatkan maka baginya satu qirat dan barang siapa yang mengikuti jenazah hingga dikuburkan maka baginya dua qirat. Baginda ditanya: Apakah dua qirat itu? Baginda menjawab seperti dua buah gunung yang besar." (Muttafaq 'alaih)
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ak-perlu-ditunaikan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|