CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1051|Reply: 0

Hadirkan sikap cinta sesama insan

[Copy link]
Post time 17-7-2022 01:14 PM | Show all posts |Read mode
Hadirkan sikap cinta sesama insan


SEORANG pelawak solo wanita didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab komedi, baru-baru ini sehingga mencetuskan kontroversi.


Pelbagai perkara membabitkan isu agama selain kaum kerap ditimbulkan pihak tertentu dan ia menjadikan hubungan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia sedikit berantakan. Terkini, pentas komedi dijadikan platform untuk menghina agama serta kaum.

Timbul persoalan berhubung sejauh mana sensitiviti rakyat negara ini berkaitan isu sensitif. Apakah kita semakin tidak peduli dengan kepercayaan orang lain, tidak peduli dengan sensitiviti kaum atau sengaja menjadikan ia sebagai bahan penghinaan.

Ikuti wawancara Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) PROF DATUK DR SHAMRAHAYU A AZIS bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN untuk mengulas isu ini.



Sensitiviti agama dan kaum semakin dipermainkan segelintir pihak. Mengapa ia berlaku?

Agama dan kaum (etnik) adalah dua perkara sensitif, bukan sahaja di negara kita, tetapi juga di dunia.

Agama menjadi sensitif kerana ia berkaitan kepercayaan dan keimanan. Ia soal hati dan iman. Kaum pula menjadi sensitif kerana melibatkan maruah dan keturunan.

Malaysia negara aman walaupun masyarakatnya berbilang agama dan etnik serta berbeza budaya.

Kita hendaklah sangat berhati-hati apabila memperkata atau melakukan sesuatu yang menyimpang daripada kepercayaan agama.

'Berhati-hati' ini bukan sahaja kepada mereka yang berbeza agama atau kaum, tetapi mereka yang menganut agama atau berasal daripada etnik sama.

Keadaan di mana sensitiviti tidak diendah, atau tidak diambil peduli ini mungkin berpunca daripada keghairahan individu atau segelintir pihak yang mencari kebebasan, atau mungkin kerana keghairahan untuk berhibur dalam kehidupan kini atau mahu menjadi popular.

Kenapa perkara ini berlaku? Pada pemerhatian saya, terdapat dua faktor utama berkaitan hal ini berlaku.

Pertama kerana faktor luaran, iaitu pengaruh situasi semasa, seperti teknologi yang menyebabkan sebaran maklumat tidak dikawal.

Kedua ialah faktor dalaman yang berkaitan dengan pendidikan, institusi keluarga, masyarakat.

Sistem pendidikan sudah sedaya upaya mencuba untuk memberikan kesedaran kepada individu atau masyarakat melalui sistem pendidikan formal dan tidak formal tentang kepentingan menjaga maruah bangsa dan agama serta menjaga hubungan antara penganut agama atau kumpulan etnik.

Namun cabaran kepada pendidikan amatlah besar. Kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat tentang sensitiviti ini sudah lama dipupuk.

Namun benarlah, kita nampak pendidikan seperti tidak begitu berkesan, bahkan penghinaan terhadap agama kelihatan semakin menjadi-jadi pula.

Keghairahan manusia itu sendiri menjadikan pendidikan seperti tidak berkesan. Terdapat kelompok masyarakat yang mudah dipengaruhi oleh trend atau maklumat dari luar negara melalui perkembangan sains dan teknologi.

Masyarakat kita sedang menjurus kepada sakit sosial yang tenat. Ini berlaku kerana kelemahan dalaman, rohani dan emosi individu. Kelemahan individu ini adalah berpunca daripada kelemahan institusi keluarga dan masyarakat.



Tiada tindakan yang menampakkan ketegasan pihak berkuasa dalam hal ini menyebabkan pihak tertentu ini semakin berani melakukannya malah secara terang terangan. Pendapat Prof?

Kita tahu bahawa perkara sensitif adalah dilindungi oleh undang-undang atas sebab menjaga ketenteraman awam atau keselamatan awam.

Perkara ini dinyatakan pada peruntukan Fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Perlembagaan ini sudah diperundangkan pada Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan yang menyediakan hukuman kepada tingkah laku terbabit.

Ketegasan pihak berkuasa pastinya adalah antara perkara utama yang perlu ditambahbaik.

Namun begitu, keupayaan pihak berkuasa ini hendaklah disokong oleh beberapa prasarana lain.

Pertama, daripada segi prasarana undang-undang. Kalau dahulunya negara mempunyai undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Kita tahu, akta ini sudah dimansuhkan. Undang-undang pencegahan adalah amat penting kerana ia mencegah perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam ini dapat dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi lebih tenat.

Umumnya, ketika ini kita mempunyai Akta Hasutan dan juga Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi menangani perkara berkaitan.

Perkara kedua ialah penerimaan khalayak sendiri. Ketegasan pihak berkuasa sering kali dipersoalkan oleh segelintir pihak.

Justeru, dalam mengendalikan kes seumpama ini, pihak berkuasa perlu juga berhati-hati supaya tiada sebarang tindakan pihak berkuasa yang dianggap sebagai menyekat kebebasan bersuara.



Ada yang melakukannya atas nama kebebasan bersuara?

Ya benar. Saya setuju. Mereka menurut trend kebebasan tanpa tanggungjawab.

Sebenarnya, tiket kebebasan yang diberikan oleh undang-undang kita adalah bersyarat.

Kebebasan hendaklah dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab ke atas kebebasan orang lain dan ketenteraman serta keselamatan awam.

Hal ini adalah begitu jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan ia hendaklah difahami dan ditaati oleh setiap individu.



Jenaka berkaitan agama serta bangsa boleh mencetuskan api persengketaan seterusnya menyebabkan isu lain yang lebih parah. Apa yang golongan ini mahukan sebenarnya?

Melihat kepada trend semasa, pada pemerhatian saya, apa yang dimahukan oleh mereka ialah kebebasan.

Dalam konteks ini, mereka mahukan kebebasan menyuarakan pendapat mereka dengan tiada tanggungjawab.

Selain daripada mahu mendapatkan kebebasan tanpa tanggungjawab ini, mereka mementingkan diri, bukan agama atau bangsa atau negaranya.



Bagaimana mahu mengubah atau membanteras situasi ini?

Perasaan romantis dan menyintai manusia lain dan sifat kemanusiaan perlu dihadirkan dalam hati dan sanubari masyarakat, bukan sekadar undang-undang yang menghukum, tetapi penghayatan kepada nilai baik dan murni itu adalah lebih penting.

Pendidikan formal dan tidak formal, hubungan antara ahli keluarga dan keterlibatan masyarakat adalah paling utama dalam membentuk keperibadian individu.

Sesungguhnya kita memerlukan kerjasama semua pihak dan kita perlukan pendekatan yang menyeluruh dalam membentuk keperibadian individu dan masyarakat.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -cinta-sesama-insan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 05:17 AM GMT+8 , Processed in 0.217434 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list