Sumber IG
Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mendedahkan pengalamannya berada di Kota Suci Makkah merasakan ia adalah 'perjalanan' kerohanian yang menjadi kenangan terbaik sepanjang hidup.
Menerusi laporan Getaran, pelantun lagu Penat itu juga mengakui kesempatan untuk berada di sana menyebabkan dia kini semakin rajin untuk memahami al-Quran dengan membaca terjemahannya.
"Saya sebenarnya segan untuk cakap. Macam tiba-tiba pula saya kongsikan perkara ini. Tapi, selepas pulang dari Makkah, saya suka membaca terjemahan al-Quran.
"Kesempatan berada di sana adalah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya," katanya dalam satu temu bual bersama Getaran.
Menjejakkan kaki di tanah suci itu pada Ramadan lalu, namun di hati Daiyan tersimpan rindu kepada Makkah. Bahkan, wanita itu menyifatkan tanah suci adalah tempat paling indah yang pernah dilawatinya.
"Ada banyak perkara yang menginspirasikan saya. Sekarang, kalau ada ujian atau perkara yang buat saya terluka, saya akan ingat bagaimana perasaan saya ketika di Makkah. Perasaan itu tidak dapat saya jelaskan tapi apa yang saya boleh katakan, ia hadiah dari alam lain.
"erasaan itulah yang mengubah saya dan membuatkan saya meletakkan Allah sebagai keutamaan. Setiap apa yang ingin saya lakukan, saya hanya akan ingat kepada-Nya sahaja selepas ini," katanya yang bakal terjun ke dunia perniagaan. - CARI
|