|
SEREMBAN: Harga siling ayam diproses RM9.40 sekilogram mulai esok disifatkan masih tinggi bagi pengguna apabila mereka juga terpaksa membayar caj tambahan untuk upah potong.
Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS) Cawangan Seremban, Mohamad Yusoff, berkata adalah wajar kerajaan mengekalkan harga sedia ada sebelum ini iaitu RM8.90/kg.
"Harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram itu masih mahal kerana itu adalah harga minimum yang perlu dibayar oleh pengguna dan tidak termasuk caj lain yang dikenakan peniaga termasuk upah potong antara 50 sen hingga RM1 bagi setiap kilogram ayam.
"Ini bermakna jika pengguna membeli lebih dari seekor, mereka sudah tentu akan dikenakan caj tambahan.
"Saya berpandangan kerajaan perlu kekalkan harga siling sedia ada iaitu RM8.90/kg kerana harga itu juga sudah dianggap tinggi dan jika hendak naikkan pun mungkin sekadar RM9/kg.
"Bagaimanapun kita bersetuju dengan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji)," katanya hari ini.
Aktivis pengguna, Mohd Fadil Baharuddin, 50, juga mengakui harga siling ayam standard ditetapkan itu masih membebankan orang ramai terutama mereka dalam kalangan golongan B40.
Beliau berkata harga RM9/kg mungkin lebih sesuai bagi memberi 'situasi menang-menang' antara pengguna dengan peniaga.
"Kenaikan 50 sen bagi setiap sekilogram ayam standard itu dianggap tinggi bagi pengguna berpendapatan rendah.
"Pengguna setiap isi rumah bukan sahaja berhadapan dengan masalah kos makanan yang meningkat tetapi juga kos lain termasuk alat ganti kenderaan, insurans kenderaan dan pelbagai lagi," katanya.
Bagi peniaga ayam, Razali Musa, 56, pihaknya menyambut baik harga siling ayam standard RM9.40 itu.
Menurutnya, harga itu dianggap munasabah bagi memberi ruang kepada peniaga ayam untuk mendapatkan keuntungan yang setimpal dengan pelbagai kos yang terpaksa dikeluarkan terutama makanan ayam.
"Saya bersetuju dan menyambut baik penetapan harga siling ayam standard RM9.40 itu kerana ia dianggap bersesuaian bagi memberi situasi 'menang-menang' kepada peniaga dan pengguna.
"Harganya tidak terlalu tinggi dan masih dalam kemampuan setiap pengguna. Peniaga berhadapan dengan kenaikan pelbagai kos, jadi dengan harga sedemikian dapatlah peniaga meraih keuntungan setimpal dan mampu membayar gaji pekerja," katanya yang terbabit dalam bidang itu lebih tujuh tahun.
https://www.bharian.com.my/berit ... logram-masih-tinggi |
|